POLITIK

Bersatu Kekal Dalam PN, Guna Logo Pada PRN Johor Dan Negeri Sembilan - Muhyiddin

17/06/2026 01:22 AM

PETALING JAYA, 17 Jun (Bernama) -- Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu akan kekal sebagai komponen dalam Perikatan Nasional (PN) serta akan menggunakan logo gabungan politik berkenaan pada Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan, masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos ini.

Beliau berkata Bersatu tidak boleh disingkirkan daripada PN secara unilateral atau berdasarkan keputusan satu pihak sahaja.

"Kita akan terus kekal sebagai anggota PN dan tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengambil tindakan untuk menyingkirkan Bersatu daripada PN secara unilateral.

"Kalau ikut perlembagaan, ada perkara-perkara dan fasal-fasal tertentu yang perlu dipatuhi... mereka mesti mematuhi peruntukan tersebut dan perlu mencapai konsensus," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti berkenaan di Ibu Pejabat Bersatu malam ini.

Turut hadir Naib Presiden Bersatu iaitu Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sebelum ini, PAS secara rasmi mengumumkan bahawa parti itu menghentikan segala bentuk kerjasama politik dengan Bersatu.

Muhyiddin juga berkata Bersatu sedia berdepan dengan PAS pada PRN berkenaan sekiranya usaha perbincangan untuk memulihkan hubungan dua parti terbesar dalam PN itu gagal.

Beliau berkata Pengerusi PN sewajarnya bertemu dengan semua parti komponen untuk agihan kerusi dalam pilihan raya itu namun sehingga kini, Bersatu tidak menerima sebarang tarikh mesyuarat mengenai perkara itu.

Katanya Bersatu akan mengumumkan senarai calon bagi PRN Johor dalam masa terdekat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan