AM

UiTM Kelantan : Jangan Tolak Tawaran Pengajian Kerana Faktor Kewangan

16/06/2026 12:57 PM

KOTA BHARU, 16 Jun (Bernama) -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan menyarankan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya tidak menolak tawaran melanjutkan pengajian ke institusi itu kerana pelbagai bentuk bantuan disediakan bagi meringankan beban kewangan mereka.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Kelantan Meer Zhar Farouk Amir Razli berkata selain pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pelajar turut boleh memanfaatkan bantuan zakat, dana kebajikan serta kemudahan dapur siswa yang disediakan universiti.

Beliau berkata kerajaan juga menyediakan kemudahan Dapur MADANI di kolej kediaman bagi membantu pelajar mengurangkan kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian.

“Pelajar dan ibu bapa disaran mendapatkan maklumat berkaitan bantuan yang ditawarkan sebelum membuat keputusan menolak tawaran kemasukan ke universiti,” katanya kepada Bernama pada Program Rektor Cakna UiTM Cawangan Kelantan, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata persaingan untuk mendapatkan tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kini semakin sengit dan peluang yang diterima pelajar perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Mengulas Program Rektor Cakna UiTM, beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan bagi membantu pelajar baharu yang memerlukan.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan komputer riba kepada pelajar kurang berkemampuan, Norzarra Dhania Amir Abdullah, 19, di kediamannya di Jalan Kebun Sultan, di sini, sebagai persediaan menghadapi semester baharu yang bermula September depan.

Norzarra Dhania berkata beliau pernah menerima tawaran melanjutkan pengajian di UiTM Sarawak tahun lepas, namun terpaksa menolaknya kerana kekangan kewangan keluarga.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata keluarganya hanya bergantung kepada pendapatan ibunya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan selepas bapanya mengalami masalah kesihatan akibat diabetes sejak empat tahun lepas.

“Impian untuk menyambung pelajaran tidak pernah pudar. Alhamdulillah, kali ini saya mendapat tawaran di UiTM Kelantan yang lebih dekat dengan keluarga dan dapat menjimatkan kos perbelanjaan,” katanya yang bakal mengikuti program Diploma Pengurusan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan