AM

Komuniti MADANI Perlu Pastikan Rakyat Dapat Maklumat Tepat, Sahih - Fahmi

16/06/2026 03:57 PM

KOTA BHARU, 16 Jun (Bernama) -- Komuniti MADANI di seluruh negara digesa memastikan rakyat menerima maklumat tepat, sahih dan benar mengenai pelbagai usaha serta inisiatif yang dilaksanakan kerajaan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata peranan tersebut, perlu digalas bersama-sama tanpa bergantung sepenuhnya kepada agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan (JAPEN) dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).

Beliau menarik perhatian kepada beberapa kejayaan kerajaan, antaranya jaminan keterjaminan makanan seperti bekalan beras yang mencukupi pada musim perayaan hasil inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Malah, menerusi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), barang ‘rare’ minyak masak peket dapat dibeli akhirnya.

“Jadi, inilah antara hasil usaha pemikiran di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang wajib dihebahkan oleh Komuniti MADANI kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada program Jiwa MADANI di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Fahmi turut menyampaikan watikah pelantikan Ketua Komuniti MADANI Negeri Kelantan bagi penggal 2026-2027.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi akan menyusun sesi taklimat berkala bagi menyalurkan isu-isu semasa yang perlu difahami dan dilaksanakan oleh komuniti berkenaan.

Selain itu, JAPEN juga diminta memantau prestasi setiap Komuniti MADANI, bagi memastikan mereka berfungsi dengan berkesan dalam menyebarkan maklumat kepada masyarakat setempat.

“Kita juga akan minta JAPEN untuk membuat pemantauan lebih pantas sekiranya ada Komuniti MADANI yang tidak berfungsi, sekiranya ia berlaku, kita akan buat perubahan seperti menggantikan dengan orang lain," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan