AM

Malaysia, UK Bincang Sekatan Media Sosial Untuk Bawah 16 Tahun Sejak Lebih Dua Tahun - Fahmi

16/06/2026 06:25 PM

KOTA BHARU, 16 Jun (Bernama) -- Perbincangan mengenai kawal selia platform media sosial termasuk sekatan had umur penggunaan di bawah 16 tahun antara Malaysia dan United Kingdom (UK) telah berjalan sejak lebih dua tahun lepas.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata rundingan dan pertukaran pandangan berkenaan melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama badan kawal selia UK iaitu Ofcom.

Beliau berkata pada peringkat awal perbincangan, Ofcom melihat usaha kerajaan Malaysia melalui MCMC untuk mengenakan pelesenan kepada platform media sosial sebagai satu langkah yang amat baik.

"Memang perbincangan dengan pihak Ofcom telah berjalan, dan kita turut mengalu-alukan apa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri United Kingdom (Keir Starmer)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi Negeri Kelantan di sini hari ini.

Semalam, Starmer mengumumkan kanak-kanak bawah 16 tahun akan dilarang daripada mengakses semua aplikasi media sosial utama.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata tindakan diambil UK jelas menunjukkan bahawa semakin banyak negara kini mula mengambil keputusan dan pendekatan yang sama seperti Malaysia.

Perkembangan terbaharu menurutnya, sekali gus membuktikan bahawa platform media sosial secara amnya tidak selamat untuk digunakan oleh kanak-kanak yang berusia di bawah 16 tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan