IPOH, 15 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (7-Eleven Malaysia) menjalin kerjasama strategik bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada Orang Berinsurans (OB) yang sedang menjalani proses pemulihan untuk kembali bekerja.
Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal berkata menerusi inisiatif itu, seramai 120 OB dijangka menyertai program percubaan kerja (work trial) dalam tempoh setahun yang akan dilaksanakan secara berfasa.
Beliau berkata setiap sesi akan melibatkan lima peserta yang menjalani percubaan kerja selama dua minggu dalam persekitaran pekerjaan sebenar.
"Langkah ini semua demi membina semula keyakinan, mengasah kemahiran, dan membuktikan bahawa tiada sempadan yang mampu menghalang mereka untuk kembali berdaya saing dalam pasaran kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Perkeso dan 7-Eleven Malaysia serta Majlis Menandatangani Perjanjian Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Antara Perkeso, Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Gsparx Sdn Bhd di Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Sibernik Kebangsaan Perkeso (PRNRSKP), di Meru Raya di sini hari ini.
Majlis itu turut menyaksikan pertukaran dokumen MOU antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama 7-Eleven Malaysia Wong Wai Keong.
Turut hadir, Pengerusi 7-Eleven Malaysia, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Sementara itu, Mohd Annuar berkata 7-Eleven yang mempunyai 2,700 rangkaian stor runcit di seluruh negara menjadikan syarikat itu antara majikan yang paling sesuai untuk inisiatif Return To Work (RTW) Perkeso.
“Kami berada dekat dengan peserta di kawasan mereka tinggal dan membesar.
“Sistem kerja berasaskan syif di stor-stor kami memberi fleksibiliti kepada mereka yang melalui proses pemulihan, dengan peranan di peringkat stor melibatkan perkhidmatan pelanggan, pengurusan produk dan operasi harian,” katanya.
Beliau berkata melalui MOU tersebut 7-Eleven Malaysia komited menyediakan latihan pra-pekerjaan, pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar, serta peluang pekerjaan bermakna kepada OB di bawah program RTW.
Katanya ini merupakan kerjasama formal pertama 7-Eleven Malaysia dan Perkeso, dengan kohort pertama peserta RTW sebelum penghujung tahun ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Perkeso turut memeterai perjanjian pembekalan tenaga boleh baharu dengan TNB dan GSPARX menerusi pemasangan sistem solar fotovolta (PV) di PRNRSKP.
Projek itu diunjurkan mampu menjana lebih 1.155 Megawatt-puncak (MWp) tenaga hijau dalam tempoh 20 tahun, sekali gus memenuhi sekitar 30 peratus daripada keseluruhan keperluan tenaga fasiliti tersebut.
Inisiatif itu juga dijangka mampu mengurangkan hampir 945 tan pelepasan karbon setahun, bersamaan dengan keupayaan 1,290 ekar hutan dalam menyerap karbon secara semula jadi.
Langkah ini sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil serta menyokong operasi yang lebih lestari, cekap, dan mesra alam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial