PETALING JAYA, 15 Jun (Bernama) -- Tourism Malaysia dan Sunway Hospitality Group hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk memperkukuh kerjasama dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan di bawah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata kerjasama itu mencerminkan perkongsian strategik antara sektor awam dan swasta yang bertujuan menarik lebih ramai ketibaan pelancong dan meningkatkan daya tarikan pelancongan Malaysia di peringkat global.
Beliau berkata kerjasama itu akan melibatkan kempen pemasaran bersama, misi jualan di luar negara, lawatan khas untuk rakan media dan perdagangan pelancongan antarabangsa, serta inisiatif promosi digital.
“Kerjasama ini juga merupakan sebahagian daripada strategi Tourism Malaysia untuk memanfaatkan platform dan kepakaran sektor swasta bagi menyokong TMM2026 tanpa komitmen kewangan langsung daripada mana-mana pihak.
"Kami ingin menunjukkan bahawa kerajaan dan sektor swasta saling bekerjasama mempromosikan Malaysia, sambil berkongsi sumber dan kekuatan untuk manfaat bersama," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu, di sini, hari ini.
Mohd Amirul Rizal berkata Tourism Malaysia juga sedang menggiatkan usaha di pasaran utama Asia termasuk China, dengan meluaskan fokus promosi bukan setakat pelancongan riadah malah merangkumi pelancongan perubatan, pelancongan pendidikan dan segmen mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Hospitality Group Alex Castaldi berkata syarikat tersebut akan menyediakan sokongan penuh kepada Tourism Malaysia melalui beberapa siri aktiviti promosi domestik dan antarabangsa secara bersama-sama.
Beliau berkata pembangunan perbandaran bersepadu Sunway, yang menggabungkan hospitaliti, penjagaan kesihatan, pendidikan, runcit dan tarikan riadah, menyediakan ekosistem pelancongan unik yang melengkapi tarikan pelancongan Malaysia.
"Penjagaan kesihatan merupakan salah satu segmen pelancongan yang paling pesat berkembang di Asia dan Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada trend ini memandangkan perkhidmatan perubatan negara yang berkualiti tinggi pada harga berpatutan," katanya.
Alex berkata pembangunan bersepadu kumpulan itu juga menawarkan peluang untuk menarik pengunjung melalui gabungan pengalaman riadah, penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Majlis memeterai perjanjian itu turut dihadiri ketua sekretariat Visit Malaysia 2026 dan pengarah kanan pengiklanan dan digital Mohd Akbal Setia.
Sementara itu, Tourism Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan menerusi MoU tersebut, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam beberapa inisiatif, termasuk menganjurkan lawatan khas bagi media antarabangsa, pempengaruh dan rakan perdagangan pelancongan, serta misi jualan luar negara dan kempen pemasaran digital penjenamaan secara bersama-sama untuk mempromosikan Malaysia di pasaran serantau dan antarabangsa.
“Kerjasama itu juga akan memanfaatkan keahlian Sunway Hospitality Group dalam Global Hotel Alliance (GHA), yang mempunyai lebih daripada 35 juta ahli di seluruh dunia, untuk meningkatkan jangkauan pelancongan antarabangsa Malaysia.
"Bersempena dengan kerjasama ini, Sunway Hospitality Group menawarkan diskaun sehingga 30 peratus untuk kadar bilik, naik taraf bilik percuma dan ganjaran DISCOVERY Dollars berganda untuk tempahan yang dibuat hingga 31 Julai bagi penginapan hingga 30 September," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial