AM

Tiga Pencarum Kemalangan Luar Waktu Kerja Di Perak Terima Faedah PERKESO

13/06/2026 07:10 PM

IPOH, 13 Jun (Bernama) -- Tiga pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Perak yang terlibat dalam kemalangan di luar waktu kerja disahkan layak menerima bantuan rawatan dan penggantian pendapatan di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau LINDUNG 24 Jam.

PERKESO memaklumkan, bantuan diterima ketiga-tiga mangsa yang terlibat dalam insiden berasingan membabitkan kemalangan jalan raya dan kemalangan domestik sewaktu hari cuti itu, membuktikan kepentingan perlindungan 24 jam yang disediakan kepada pekerja menerusi skim tersebut yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun lepas.

Pertubuhan itu memaklumkan, kes pertama melibatkan Chen Chee Ling, 51, yang bekerja sebagai runner di sebuah syarikat kereta terpakai, mengalami patah pergelangan tangan kanan akibat tergelincir di sebuah kedai makan di Manjung  pada 1 Jun ketika keluar bersarapan bersama keluarganya sempena cuti umum.

“Hasil semakan mendapati dia merupakan pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (LINDUNG Pekerja) dan layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS),” menurut PERKESO dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Chen mendapat rawatan perubatan di Hospital Seri Manjung dan akan menerima bayaran penggantian pendapatan bagi sepanjang tempoh cuti sakitnya dari 1 hingga 16 Jun 2026, selain bakal menjalani beberapa sesi rawatan susulan.

Kes kedua pula melibatkan Nor Izzati Mohd Fazil, 27, dari Bota, yang patah tangan kanan, luka di kening, serta kesan melecur di tapak kaki selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor kerbau pada 1.30 pagi, 4 Jun lepas, ketika dalam perjalanan pulang dari Ipoh.

PERKESO memaklumkan Nor Izzati telah dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk menjalani pembedahan implan dengan kos RM2,700 pada 11 Jun dan susulan rawatan itu, dia disahkan layak menerima manfaat FHUS di bawah skim LINDUNG 24 Jam.

 Menurut kenyataan itu, seorang pembantu syarikat pembinaan, Ishvinder Singh Reginder Singh, 31, juga menerima faedah sama selepas motosikalnya terbabas akibat jalan berpasir dan licin di Jalan Silibin di sini pada 8 Jun, mengakibatkan patah kaki kiri serta luka di muka, tangan dan bahu.

Sementara itu, PERKESO menjelaskan walaupun belum sampai dua minggu LINDUNG 24 Jam diperkenalkan, pertubuhan itu menerima pelbagai laporan kemalangan bukan bencana kerja. 

“Perkara tersebut sekali gus membuktikan perlindungan sosial tidak sepatutnya dihadkan kepada waktu bekerja sahaja kerana musibah boleh terjadi sewaktu beriadah atau bercuti. Justeru, perlindungan komprehensif seperti LINDUNG 24 Jam dapat mengelakkan pekerja berdepan kesukaran kewangan ketika ditimpa musibah,” menurut kenyataan itu.

Skim LINDUNG 24 Jam merupakan inisiatif terbaharu PERKESO dalam menyediakan perlindungan berterusan, dengan pencarum yang terkesan akibat insiden luar waktu kerja tetap dibantu untuk meneruskan kelangsungan hidup serta menjalani proses pemulihan dengan lancar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan