JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Kelantan Panggil Syarikat Kurier Kongsi Modus Operasi Sindiket Dadah

15/06/2026 03:17 PM

KOTA BHARU, 15 Jun (Bernama) -- Polis Kelantan telah memanggil lebih 10 syarikat perkhidmatan kurier di negeri itu untuk berkongsi maklumat modus operandi (MO) terkini sindiket dadah yang menggunakan penghantaran bungkusan bagi kegiatan itu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata langkah itu bertujuan meningkatkan kewaspadaan pengendali dan petugas syarikat kurier susulan banyak kes berkaitan dadah yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

Beliau berkata syarikat kurier turut diminta merekodkan maklumat penghantar termasuk nombor kad pengenalan dan nombor telefon bagi memudahkan proses pengesanan jika berlaku sebarang kesalahan.

“Kita minta mereka lebih peka dan jika terdapat bungkusan mencurigakan, pelanggan diminta membuka bungkusan di hadapan petugas untuk pemeriksaan awal,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata pihaknya turut memaklumkan trend penghantaran secara drop-off, iaitu mendaftarkan bungkusan secara dalam talian dan ditinggalkan di lokasi ditetapkan tanpa berurusan secara langsung dengan petugas syarikat yang menyukarkan pengesanan identiti penghantar berbanding bersemuka di kaunter. 

Beliau berkata setakat ini tiada syarikat kurier dikenal pasti bersubahat dalam kegiatan penyeludupan dadah, namun beberapa petugas syarikat perkhidmatan tersebut pernah dipanggil bagi membantu siasatan beberapa kes.

Beliau turut menggalakkan penggunaan peralatan pengimbas oleh syarikat kurier bagi membantu mengesan kandungan mencurigakan dalam bungkusan dan memperkukuh kawalan keselamatan penghantaran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan