ISKANDAR PUTERI, 15 Jun (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) disyor supaya membuat kajian segera mengenai penggunaan Sistem Pratuang Modular (MPS) bagi mempercepatkan pelaksanaan projek pembinaan bangunan.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kaedah itu dilihat lebih efisien berbanding Sistem Binaan Berindustri (IBS) kerana komponen bangunan dihasilkan secara modular sebelum dipasang di tapak.
“JKR perlu meneliti dan membuat kajian segera mengenai kaedah MPS bagi pembinaan bangunan. Sistem ini lebih terperinci daripada IBS dan membolehkan bangunan disiapkan dalam tempoh yang lebih singkat.
“Bangunan seperti rumah, sekolah dan dewan boleh dibina menggunakan kaedah ini supaya rakyat dapat menikmati kemudahan yang disediakan tanpa perlu menunggu terlalu lama,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke JKR Negeri Johor di sini hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata jumlah pembekal MPS di negara ini masih terhad berbanding Singapura yang lebih awal mengguna pakai teknologi tersebut.
Katanya, antara kementerian yang giat menggunakan MPS ketika ini ialah Kementerian Pendidikan, khususnya bagi pembinaan bilik darjah tambahan di sekolah yang mempunyai kepadatan murid tinggi.
“Melalui MPS, pembinaan satu hingga enam bilik darjah boleh disiapkan dalam tempoh kira-kira tiga hingga empat bulan.
“Ini membuktikan teknologi tersebut mampu mempercepatkan pelaksanaan projek tanpa menjejaskan kualiti pembinaan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata JKR Negeri Johor kini menguruskan sebanyak 38 projek pembinaan bernilai keseluruhan RM350 juta yang dibiayai menerusi peruntukan kerajaan negeri.
Beliau berkata daripada jumlah itu, empat projek melibatkan pembinaan bangunan bernilai RM158.2 juta, 10 projek pembangunan jalan bernilai RM136.8 juta dan 24 projek kerja penyenggaraan dengan kos RM53.6 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial