AM

JKR Sarawak Serah Dua Projek Sekolah Bernilai RM100 Juta Di Bintulu

10/06/2026 09:57 PM

BINTULU, 10 Jun (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menyerahkan dua projek sekolah baharu di sini bernilai lebih RM100 juta kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memperkukuh kemudahan pendidikan di kawasan pesat membangun di bahagian ini.

JKR Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan projek terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Samalaju bernilai RM57.62 juta dan Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Mohammad Bintulu bernilai RM42.74 juta.

“SMK Samalaju yang dibina Empayar Setia Sdn Bhd dilengkapi 36 bilik darjah, 24 unit kuarters guru, dua blok asrama dan pelbagai kemudahan sokongan bagi memenuhi keperluan pendidikan semasa.

“Pembinaan sekolah ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti Samalaju yang berkembang pesat sebagai hab ekonomi dan perindustrian utama di Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan SK Orang Kaya Mohammad Bintulu yang dilaksanakan EPR (Kuching) Sdn Bhd dibangunkan di tapak baharu dengan kemudahan moden dan lebih lengkap bagi meningkatkan keselesaan serta kualiti pembelajaran.

“Sekolah yang ditubuhkan pada 1912 itu kini beroperasi dalam bangunan baharu yang menawarkan persekitaran pembelajaran lebih kondusif kepada warga sekolah,” katanya.

Menurut JKR Sarawak, kejayaan menyiapkan kedua-dua projek mencerminkan kerjasama erat antara KPM, JKR Sarawak selaku agensi pelaksana, kontraktor, perunding dan agensi teknikal berkaitan meskipun berdepan cabaran termasuk pandemik COVID-19 serta peningkatan kos bahan binaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan