KANGAR, 12 Jun (Bernama) -- Polis menjalankan siasatan secara menyeluruh kejadian seorang murid perempuan berusia 12 tahun mengalami kecederaan dipercayai terjatuh selepas kerusinya ditarik rakan sekelas di sebuah sekolah kebangsaan di kawasan Padang Besar pada 11 Feb lepas.
Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata kejadian kira-kira 12.15 tengah hari itu berlaku ketika mangsa ingin duduk semula selepas memberi salam kepada guru sebelum terjatuh ke lantai akibat kerusinya dipercayai ditarik oleh seorang rakan perempuan.
"Hasil siasatan mendapati kedua-dua murid terlibat merupakan rakan sekelas dan kejadian dipercayai berlaku tanpa sebarang unsur pergaduhan atau permusuhan yang serius.
“Polis menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi memastikan semua aspek berkaitan kejadian ini diteliti dengan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shokri berkata laporan kejadian itu dibuat ibu mangsa pada 25 Feb lepas kira-kira 2.30 pagi dan polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Beliau berkata kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perlis pada 19 Mei lepas dengan cadangan pertuduhan di bawah peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 dan setakat ini pihak polis masih menunggu arahan lanjut daripada pejabat itu.
Hari ini, Bernama melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun didakwa mengalami kecederaan sehingga membataskan pergerakannya menyebabkan hampir empat bulan tidak hadir ke sekolah selepas dipercayai terjatuh akibat kerusi yang ingin didudukinya ditarik rakan sekelas pada Februari lepas.
Ibu kepada kanak-kanak itu, Norasikin Hasin, 32, mendakwa anak sulung daripada dua beradik tersebut mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian belakang pinggang sebelum didiagnosis mengalami gangguan fungsi serta gangguan tekanan pascatrauma (PTSD).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial