DUNIA

Cuba Seru Solidariti Selatan Global Di Tengah-tengah Tekanan AS

12/06/2026 11:16 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Serangan yang berlaku terhadap Cuba hari ini boleh menjadi serangan ke atas mana-mana negara pada masa hadapan, terutamanya di rantau Selatan Global, yang sumber strategik atau kepentingan geopolitik tertakluk kepada penguasaan empayar, kata Duta Besar Cuba ke Malaysia Yadira Ledesma Hernandez.

Ledesma berkata pencerobohan Amerika Syarikat (AS) terhadap Cuba adalah bersifat pelbagai dimensi, merangkumi tekanan ekonomi dan tenaga sehinggalah kepada ancaman tindakan ketenteraan yang sistematik, provokasi serta tekanan diplomatik.

Beliau berkata Selatan Global mesti memutuskan sama ada mahu menerima apa yang disifatkan sebagai norma baharu itu dan terus berdiam diri dalam menghadapi ketidakadilan serta pencabulan undang-undang antarabangsa yang nyata, atau menyuarakan pandangan dan mengambil tindakan bersama untuk mengutuk tindakan sedemikian, mempertahankan keamanan serta menawarkan solidariti antarabangsa.

“Sejak 1962, mereka mengekalkan sekatan yang menjadi sistem sekatan unilateral paling tidak adil, paling berat dan paling lama dikenakan terhadap sebuah negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Ledesma berkata sekatan ekonomi, perdagangan dan kewangan itu menyebabkan Cuba mengalami kerugian melebihi US$7 bilion sepanjang tahun lalu, manakala jumlah kerugian terkumpul sepanjang lebih enam dekad pelaksanaan dasar itu mencecah US$170.677 bilion, memetik laporan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Februari 2025.

Beliau berkata dasar tekanan maksimum Washington telah menjejaskan petunjuk utama di Cuba secara negatif, termasuk kematian bayi, kadar kelangsungan hidup kanak-kanak penghidap kanser dan akses kepada pembedahan.

Menurut Ledesma, kadar kematian bayi yang sebelum ini dilaporkan pada 4.0 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup, telah meningkat kepada 9.9, manakala kadar kelangsungan hidup bagi kanak-kanak penghidap kanser menurun daripada 85 peratus kepada 65 peratus.

Beliau berkata kini terdapat senarai menunggu seramai 100,000 pesakit yang menanti untuk menjalani pembedahan, termasuk 12,000 kanak-kanak.

"Angka ini menunjukkan bahawa hukuman kolektif yang dikenakan terhadap Cuba ini diklasifikasikan sebagai satu tindakan genosid," katanya.

Sementara itu, Ledesma berkata Cuba mengalami "sekatan minyak sebenar" dan hanya menerima satu penghantaran minyak dari Rusia dalam tempoh enam bulan lepas.

"Tiada negara di dunia yang mampu mengekalkan sekatan tenaga sedemikian tanpa menghadapi gangguan ekonomi dan sosial yang serius," katanya.

Presiden AS Donald Trump mengeluarkan perintah eksekutif pada 29 Jan yang membolehkan tarif dikenakan ke atas barangan yang diimport ke AS dari negara yang menjual atau membekalkan minyak secara langsung atau tidak langsung kepada Cuba.

Ledesma berkata situasi semasa sekali lagi mendorong Cuba ke arah daya tahan, inovasi dan aplikasi sains.

Beliau berkata minyak mentah Cuba baru-baru ini berjaya ditapis menggunakan metodologi baharu yang kini dalam fasa ujian, manakala negara itu juga mempercepatkan pemasangan taman solar yang besar untuk menghasilkan tenaga fotovoltaik.

"Ini juga merupakan pengajaran bagi negara di Selatan Global," katanya.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Volker Turk pada Isnin menggesa sekatan yang dikenakan oleh AS terhadap Cuba ditarik balik serta-merta, dengan memberi amaran bahawa peluasannya menyebabkan kemudaratan yang meluas kepada penduduk dan membahayakan nyawa.

"Sekatan bahan api yang dikenakan sejak awal 2026 dan pengetatan sekatan ekstrateritorial baru-baru ini, jika diambil bersama, secara langsung memudaratkan rakyat Cuba, terutamanya golongan yang paling rentan. Kanak-kanak meninggal dunia kerana doktor kekurangan akses kepada bekalan perubatan dan ubat-ubatan penting. Ini tidak boleh diterima," kata Turk.

Beliau berkata pengisytiharan darurat nasional oleh AS pada Januari telah mengganggu penghantaran bahan api ke Cuba, sekali gus mengurangkan rizab bahan api negara itu secara mendadak menjelang pertengahan Mei, dan penyusutan ini menyebabkan gangguan bekalan elektrik harian yang kini kerap melebihi 20 jam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan