AM

Selangor Perjelas Salah Faham Berkaitan Garis Panduan Rumah Ibadat Bukan Islam

06/06/2026 10:15 PM

SHAH ALAM, 6 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor menjelaskan beberapa tanggapan salah berkaitan cadangan semakan dan penambahbaikan Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Kemudahan Komuniti Negeri Selangor yang melibatkan tempat ibadat bukan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Negeri V. Papparaidu berkata antara dakwaan tidak tepat ialah bahawa rumah ibadat bukan Islam tidak lagi dibenarkan mempunyai akses terus dari jalan utama susulan pengenalan garis panduan baharu yang mewajibkan jalan susur atau service road.

Beliau berkata penyediaan jalan susur bertujuan untuk memudahkan akses kenderaan dan parkir yang lebih selamat tanpa mengganggu aliran trafik di jalan-jalan utama.

“Keperluan jalan susur adalah semata-mata berdasarkan pengurusan trafik dan pertimbangan keselamatan awam. Premis keagamaan yang terletak di sepanjang jalan utama sering menarik kehadiran ramai orang ketika perayaan dan majlis tertentu, yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas serta risiko keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Papparaidu turut menolak dakwaan bahawa tempat ibadat yang terletak di tapak pembinaan perlu dirobohkan, sebaliknya menjelaskan bahawa garis panduan yang dicadangkan itu merujuk khusus kepada tempat ibadat sementara yang didirikan di kawasan tapak pembinaan bagi tujuan ibadat sepanjang tempoh pembangunan.

“Apabila kuil atau rumah ibadat kekal siap dibina, struktur sementara ini akan dipindahkan dengan sewajarnya. Dasar ini tidak melibatkan perobohan sewenang-wenangnya terhadap tempat ibadat,” katanya.

Berkaitan had ketinggian bangunan dan keluasan tanah, Papparaidu berkata kerajaan negeri kekal terbuka untuk menyemak semula dan menambah baik piawaian sedia ada iaitu antara 0.1 hektar hingga 0.2 hektar serta bangunan berketinggian 72 kaki (21.95 meter).

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (Limas) berkata kerajaan negeri kekal komited untuk mempertahankan kebebasan beragama dan menjaga kepentingan semua komuniti agama, selain memastikan dasar perancangan yang menggalakkan pembangunan yang selamat, harmoni dan mampan.

“Kami menggesa orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan maklumat tidak tepat dan merujuk hanya kepada kenyataan rasmi serta sumber yang disahkan berkaitan perkara ini. Libat urus dan dialog secara konstruktif akan terus menjadi panduan kepada usaha kerajaan negeri dalam menambah baik garis panduan ini demi manfaat semua rakyat Selangor,” katanya.

Papparaidu berkata keputusan untuk menyemak semula dan menambah baik garis panduan itu telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan objektif bagi memastikan peraturan perancangan kekal praktikal, inklusif dan responsif terhadap keperluan masyarakat pelbagai kaum di Selangor.

Dalam kenyataan yang sama, beliau berkata Selangor secara konsisten menunjukkan komitmennya dalam menyokong komuniti agama bukan Islam dengan sebanyak 481 lot tanah telah diluluskan dan dikeluarkan sejak 2008 bagi tujuan keagamaan bukan Islam.

“Di bawah pentadbiran semasa sahaja, sebanyak 57 plot telah diluluskan, manakala 40 lagi permohonan sedang diproses. Menjelang akhir tahun ini, jumlah keseluruhan dijangka melepasi 500 tapak yang diluluskan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan