AM

Kerjasama Rentas Sektor, Kepimpinan Inklusif Penting Bagi Peralihan Tenaga - Pemimpin Industri

05/06/2026 09:43 PM

Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Kejayaan peralihan tenaga negara terletak pada ekosistem yang luas dan amat bergantung kepada kerjasama strategik merentas sektor, kata Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Pihak Berkepentingan Tenaga Nasional Bhd (TNB) Shahannom Izham.

Beliau berkata untuk mencapai aspirasi nasional ini, silo korporat tradisional perlu dipecahkan, sambil merujuk kepada kerjasama bersejarah antara dua gergasi tenaga negara, TNB dan Petronas.

“Kerjasama dan perkongsian amat penting untuk memastikan peralihan tenaga dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di sini hari ini semasa sesi panel bertajuk ‘Women Powering the Energy Transition: Leadership, Policy and Digital Innovation’.

Sesi itu dianjurkan oleh TNB Women in Energy Network (TWiEN).

Beliau berkata industri juga perlu mengimbangi keperluan berbeza antara pengguna di luar bandar dan bandar bagi memastikan peralihan tersebut memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.

Shahannom berkata keterangkuman merupakan prasyarat penting bagi sebarang inisiatif peralihan tenaga yang berjaya dan sektor utiliti tempatan kini bukan sahaja melabur secara besar-besaran dalam infrastruktur grid fizikal, tetapi juga dalam melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran baharu.

Katanya landskap tenaga semasa menawarkan peluang besar kepada wanita untuk berkembang, baik dalam bidang teknikal mahupun jawatan kepimpinan, dengan sistem sokongan korporat yang kukuh seperti penjagaan anak dan program bimbingan berfungsi sebagai pemangkin penting bagi pemimpin wanita.

Turut senada, Pengarah Bahagian Kawal Selia Ekonomi dan Dasar Pengguna Suruhanjaya Tenaga (ST) Marlinda Mohd Rosli yang berkata wanita semakin memainkan peranan dalam mengemudi bidang kawal selia dan penggubalan dasar sektor tersebut.

Beliau berkata wanita kini berada di barisan hadapan dalam penggubalan dasar peralihan tenaga, sambil menyatakan bahawa lima daripada sembilan anggota ST adalah wanita.

Sementara itu, Naib Presiden Pengurusan Bakat dan Komunikasi Sumber Manusia DayOne Data Center Vidya T C berkata industri perlu melangkaui sekadar meningkatkan penyertaan wanita dan memberi tumpuan kepada perubahan struktur yang sebenar serta representasi di peringkat pembuat keputusan.

Beliau berkata golongan wanita sebenarnya memerlukan sokongan korporat untuk memperoleh tugasan penting dan seterusnya mendaki ke jawatan peringkat pengurusan tertinggi.

ETCon26 yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini menghimpunkan lebih 4,000 delegasi dari seluruh ASEAN dan pasaran global utama bagi menyertai perbincangan, perkongsian dan penyelesaian bermakna berkaitan peralihan tenaga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan