Oleh Mohd Fakri Awang Lah
ALOR GAJAH, 4 Jun (Bernama) -- Bermula daripada menanam anggur di tepi rumah, Mohamad Dzarul Hakim Dol Malek tidak menyangka bahawa buah yang sering dianggap sukar ditanam di Malaysia itu, berjaya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, baru-baru ini.
Menceritakan pengalaman berharga tersebut, pengusaha tanaman anggur berusia 31 tahun itu berkata buah berkenaan dijadikan sebagai hadiah kepada Sultan Ibrahim bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda pada Isnin lepas.
"Peluang untuk mempersembahkan anggur ini hadir selepas kebun Amanda Puteri Garden di Masjid Tanah, di sini yang diusahakan bersama-sama ibu, Maizah Jalil, 59, dan bapa, Dol Malek Md Sap, 61, bekerjasama dengan usahawan terkenal Tan Sri Lee Kim Yew.
"Melalui kerjasama itu, sebanyak 72 pokok anggur kami ditanam di kediaman Lee, iaitu di The Mines, Seri Kembangan, Selangor sebagai projek perintis. Selepas sembilan bulan, pokok itu mula berbuah buat kali pertama dan hasil itulah yang dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda," katanya kepada Bernama.
Selain projek perintis berkenaan, Mohamad Dzarul Hakim berkata kerjasama itu juga bertujuan mengkomersialkan penanaman anggur di atas tanah seluas kira-kira 20 hektar di Rasa, Selangor, sekali gus membantu mengurangkan import buah-buahan itu yang mencecah puluhan ribu tan setiap tahun.
"Malah, anggur ini turut dipersembahkan kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah," katanya.
Mengimbas kembali kejayaan dikecapi keluarganya itu, Mohamad Dzarul Hakim berkata semuanya bermula sebagai hobi waktu senggang ibu dan bapanya yang ingin mengindahkan landskap rumah mereka pada 2002.
Bagaimanapun, mereka mula serius menanam anggur di kebun seluas 1.2 hektar di Kuala Sungai Baru Hilir, Masjid Tanah ketika pandemik COVID-19 melanda dunia pada 2020 untuk dikomersialkan sebagai produk agropelancongan baharu di kawasan berkenaan.
"Bagi membantu ibu bapa merealisasikan hasrat mereka, saya berhenti kerja sebagai akauntan di sebuah syarikat di Kuala Lumpur dan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap aktiviti pertanian ini.
"Hasil kerja keras yang diusahakan selama ini, setiap Rumah Lindungan Hujan (RLH) yang mengandungi lebih 1,000 pokok anggur kini mampu menghasilkan 100 kilogram buah-buahan itu setiap kali musim menuai yang berlaku sebanyak tiga kali setahun," katanya.
Mohammad Dzarul Hakim berkata dia menanam anggur jenis Jupiter yang berbentuk sedikit bujur dengan warna merah kehitaman serta mempunyai rasa unik, iaitu campuran buah laici, mangga dan markisah, serta sangat manis apabila ranum.
Berhubung salah anggap bahawa anggur hanya boleh ditanam di negara yang mempunyai empat musim, Mohammad Dzarul Hakim berkata buah itu sebenarnya berasal dari Timur Tengah yang sering dilanda cuaca panas dan kering.
"Kalau di negara empat musim pun, anggur hanya berbuah ketika musim panas, justeru buah ini sebenarnya sangat sesuai ditanam di Malaysia yang mempunyai cuaca panas hampir sepanjang tahun," katanya.
Bagaimanapun, terdapat cabaran tertentu membabitkan aspek pembajaan dan kawalan perosak dengan keadaan cuaca panas dan lembap di negara ini.
"Apabila kelembapan tinggi, pokok anggur mudah dihinggapi kulat, namun penggunaan racun tertentu yang disembur setiap dua minggu boleh membantutkan pertumbuhan parasit berkenaan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial