AM

Istiadat Mengarak Panji-panji Lambang Taat Setia ATM Kepada Raja Dan Negara - PM Anwar

05/06/2026 03:34 PM

PUTRAJAYA, 5 Jun (Bernama) -- Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong adalah satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada raja dan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata istiadat bagi menzahirkan penghormatan tertinggi itu menyaksikan lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong diarak iaitu Panji-Panji Rejimen Askar Melayu, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Mengiringi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke istiadat mengarak Panji-Panji bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda di Dataran Pahlawan Negara, pagi tadi,” kata perdana menteri.

Terdahulu, Anwar tiba di Dataran Pahlawan Negara pada 8.35 pagi, disusuli keberangkatan tiba Sultan Ibrahim pada 8.45 pagi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Istiadat tersebut diadakan sebanyak tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan bagi setiap Raja Melayu yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, iaitu bagi tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan