KUANTAN, 26 Mei (Bernama) -- Polis membongkar kegiatan perlombongan mata wang digital (bitcoin) haram menerusi serbuan ke atas dua premis di Bandar Satelit, Muadzam Shah, Rompin, semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata serbuan menerusi Ops Elektrik kira-kira 2.30 petang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) Kuantan Zon Timur.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati dua premis tertutup dan tidak beroperasi itu dijadikan pusat perlombongan bitcoin dengan menggunakan sambungan elektrik secara tidak sah.
“Susulan itu, polis merampas 36 mesin perlombongan mata wang digital, 18 blower dan kipas serta masing-masing dua set komputer dan modem Wi-Fi digunakan bagi menjalankan aktiviti tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat dan usaha mengesan individu terlibat sedang dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990.
Sharif Shai berkata pihaknya akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan bekalan elektrik serta perlombongan mata wang digital secara haram yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada negara selain membahayakan keselamatan awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial