GEORGE TOWN, 17 Jun (Bernama) -- Polis Pulau Pinang memberi jaminan tahap keselamatan dan kelancaran trafik sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pusat Konvensyen PICCA@ Arena Butterworth, dekat sini berada pada tahap baik tanpa menjejaskan pergerakan harian penduduk setempat.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata pelbagai langkah proaktif telah dirangka bagi memastikan kelancaran acara berprestij itu termasuk pengurusan trafik dan kawalan keselamatan yang menyeluruh seperti yang dilaksanakan ketika sambutan Hari Malaysia 2025 di lokasi sama, tahun lepas.
Bagaimanapun, beliau berkata jalan-jalan utama di sekitar PICCA tidak akan ditutup sepanjang penganjuran program bagi mengelakkan gangguan kepada pengguna jalan raya dan penduduk setempat.
"Sebaliknya, pihak polis trafik akan melaksanakan beberapa lencongan jalan bagi melancarkan aliran trafik di kawasan berkenaan selain menempatkan anggota di setiap persimpangan utama bagi mengawal pergerakan kenderaan di kawasan tersebut.
"Kekuatan anggota yang ditugaskan untuk kawalan keselamatan dan trafik juga adalah sebagaimana dilaksanakan ketika sambutan Hari Malaysia sebelum ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Azizee berkata pihaknya telah melakukan persediaan rapi bagi menghadapi peningkatan kehadiran pengunjung sepanjang tiga hari program berlangsung, sekali gus memastikan keselamatan tetamu, peserta dan orang awam sentiasa terpelihara.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai supaya mematuhi arahan anggota trafik dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesesakan di kawasan sekitar.
Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jun ini, dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
Mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, HAWANA 2026 yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, adalah platform kemuncak dalam menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di negara ini.
Karnival RIUH Pi HAWANA di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini pula, dijangka menarik kira-kira 30,000 pengunjung dan menghimpunkan jenama tempatan selain bengkel interaktif yang memberi peluang kepada orang ramai meneroka pelbagai aktiviti kreatif.
Riuh Pi HAWANA yang akan menghimpunkan lebih 24 jenama produk kreatif tempatan serta 20 vendor makanan dan minuman, turut dimeriahkan dengan 16 persembahan pentas menampilkan artis tempatan seperti Exists, Bunkface, Masdo, Sakura Band, Budak Nakal Hujung Simpang dan Chelsea Ng dengan kemasukan percuma.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial