KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2025-2026 buat kali keenam.
Menurut hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda turut menghargai semangat juang para pemain, barisan kejurulatihan serta sokongan padu penyokong setia JDT yang sentiasa bersama pasukan dalam apa jua keadaan.
“Penyokong sentiasa menjadi sumber inspirasi dan kekuatan buat pasukan dalam menyemarakkan semangat juang serta suntikan motivasi untuk terus melakar kejayaan,” titah Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan syabas kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, yang juga pemilik Kelab JDT.
JDT melakar sejarah tersendiri apabila muncul pasukan pertama menjuarai Piala Malaysia empat musim berturut-turut selepas menewaskan Kuching City FC 2-0 pada aksi final Piala Malaysia 2025/2026 di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini malam ini.
Dua jaringan skuad Harimau Selatan masing-masing dijaringkan Marcos Guilherme dan pemain gantian Arif Aiman Mohd Hanapi pada separuh masa kedua selepas babak pertama yang berlangsung sengit berkesudahan tanpa sebarang gol.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial