AM

BNF Ubati Kerinduan Anak Perantau Sabah, Sarawak

23/05/2026 06:30 PM

Oleh Suraidah Roslan

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Kerinduan anak perantauan terhadap kampung halaman, terutama aroma dan rasa makanan tradisional Sabah serta Sarawak terubat sedikit dengan mengunjungi Borneo Native Festival (BNF), yang bukan sekadar menghimpunkan juadah etnik, tetapi turut menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan latar budaya.

Bagi pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Puncak Alam, Daniel Perrera, 23, festival itu menjadi ruang untuk mengubat rindu terhadap kampung halamannya di Sabah selepas hampir enam tahun menetap di Kuala Lumpur.

“Susah sebenarnya nak jumpa makanan tradisional Sabah di sini. Jadi, kunjungan hari ini, saya harap dapat cari sambal tuhau untuk mengubat kerinduan terhadap kampung halaman,” katanya kepada Bernama,

Pelajar itu berkata penganjuran festival sebegini penting bukan sahaja untuk memperkenalkan budaya dan tradisi masyarakat Borneo, malah mendekatkan golongan muda dengan warisan etnik masing-masing.

“Masyarakat Sabah dan Sarawak masih menghargai dan mengamalkan bahasa ibunda masing-masing. Penggunaan bahasa ibunda bukan sahaja diterapkan dalam kehidupan harian tetapi juga dalam pembelajaran,” katanya.

Sementara itu, pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Batrisyia Ahmad, 24, berkata festival itu membuka peluang kepada orang ramai terutama rakyat Malaysia di Kuala Lumpur sepertinya mengenali keunikan budaya masyarakat di Sabah dan Sarawak dengan lebih dekat.

“Penganjuran festival itu turut membantu generasi muda memahami kehidupan masyarakat Borneo menerusi pendedahan kepada makanan, budaya dan produk tradisional yang dibawa vendor,” katanya.

Bagi ekspatriat dari New Zealand, Dale Wells yang telah menetap di Malaysia selama 12 tahun, keunikan makanan tradisional mendorongnya untuk berkunjung ke BNF 2026.

“Saya sedang mencari umai, sejenis hidangan tradisional yang pernah saya makan ketika mengunjungi Kuching suatu ketika dulu.

“Festival ini amat menarik, saya suka pakaian tradisional yang dipamerkan, semuanya cantik. Kami sebenarnya telah menetap di sini selama 12 tahun, jadi kami pernah menikmati beberapa makanan tradisional sebelum ini,” katanya.

Ekspatriat itu berkata kepelbagaian etnik dan budaya di Borneo merupakan tarikan unik yang harus terus dipelihara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan