SUKAN

Piala Malaysia: JDT Dalam Dilema Pilih Pemain, Arif Aiman Kembali Perkuat Pasukan Hadapi Final

22/05/2026 03:30 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz mengakui menghadapi dilema dalam pemilihan pemain menjelang aksi final Piala Malaysia 2025-2026 menentang Kuching City FC di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Pengendali dari Sepanyol itu berkata lambakan pemain berkualiti dalam skuad Harimau Selatan selain peraturan liga membabitkan kombinasi pemain import dan tempatan menjadikan proses pemilihan lebih mencabar.

“Agak sukar untuk memilih kesebelasan terbaik esok kerana kami memiliki ramai pemain dan semuanya berkualiti. Berdasarkan kapasiti serta peraturan ditetapkan, kami hanya boleh menurunkan kombinasi tertentu.

“Kami juga perlu memahami kombinasi antara pemain import dan pemain tempatan. Kami perlu memilih pilihan terbaik untuk kesebelasan utama dan ia bukan hanya bergantung kepada nama besar,” katanya pada sidang media praperlawanan hari ini.

Munoz berkata situasi itu pasti lebih mudah jika pasukan dibenarkan menggunakan keseluruhan skuad tanpa sebarang sekatan, namun beliau menganggap cabaran itu sebagai sebahagian daripada tuntutan yang perlu diharungi pasukan.

Pada masa sama, beliau berkata pemain sayap kebangsaan Arif Aiman Mohd Hanapi berpotensi kembali beraksi selepas hampir enam bulan berehat bagi menjalani rawatan kecederaan hamstring.

Arif Aiman mengalami kecederaan itu ketika aksi menentang Nepal dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 18 Nov tahun lepas.

“Kita perlu faham Arif Aiman sudah lama tidak beraksi. Sudah tentu ada tekanan jika dia kembali esok. Dia memerlukan sedikit masa lagi untuk mendapatkan semula tahap kecergasan dan prestasi terbaiknya, namun untuk esok, Arif Aiman berada dalam senarai skuad,” katanya.

Sementara itu, Munoz menjangkakan tentangan sengit daripada Kuching City FC yang disifatkannya sebagai antara pasukan paling menyerlah musim ini selepas menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua.

Beliau menyifatkan final esok sebagai pertembungan dua pasukan terbaik negara sambil menegaskan kepentingan untuk mengekalkan fokus sepenuhnya bagi memastikan JDT menutup kempen cemerlang musim ini dengan bergaya.

"Kami mahu menutup musim ini dengan sebaik mungkin kerana ia merupakan musim cukup luar biasa. Kami akan cuba memberikan aksi terbaik dan menamatkan kempen ini dengan penuh bergaya.

“Cabarannya ialah kami bakal berdepan pasukan yang hanya melepaskan 14 gol sepanjang saingan liga musim ini. Setiap kali kami menentang mereka, perlawanan sentiasa berlangsung sengit,” katanya.

JDT memburu gelaran keenam Piala Malaysia selepas muncul juara pada 2017, 2019, 2022, 2023 dan musim 2024/2025 manakala Kuching City FC di bawah bimbingan Aidil Sharin Sahak berpeluang mencipta sejarah menjulang piala berprestij itu buat kali pertama.

Perlawanan akhir esok akan dikendalikan empat pegawai perlawananan berprofil tinggi dari Qatar sebagai sebahagian daripada usaha Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memastikan standard pengadilan berada pada tahap tertinggi, selaras dengan reputasi Piala Malaysia sebagai saingan bola sepak tertua dan paling berprestij di negara ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan