AM

Stadium Negeri Sarawak Kini Dikenali Sebagai Stadium Taha Ariffin

19/05/2026 07:52 PM

KUCHING, 19 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak meluluskan penukaran nama Stadium Negeri kepada Stadium Taha Ariffin.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata langkah ini merupakan tanda penghargaan dan pengiktirafan atas sumbangan besar Allahyarham Datuk Mohamad Taha Ariffin kepada pembangunan sukan di Sarawak.

"Pengiktirafan ini ialah penghormatan sewajarnya kepada individu yang khidmat dan komitmennya banyak menyumbang kepada pertumbuhan dan kejayaan bola sepak di negeri ini," katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata Mohamad Taha merupakan pengasas Persatuan Bola Sepak Sarawak pada 1974 dan tokoh terkemuka yang memainkan peranan penting dalam membentuk pembangun sukan, terutamanya bola sepak di negeri ini.

Abdul Karim berkata di bawah kepimpinan Mohamad Taha, Sarawak mencapai tahap yang tinggi dan melakar kejayaan dalam pelbagai acara sukan seperti Juara Piala FA Malaysia pada 1992, dan juara Sukan Malaysia (SUKMA) sebanyak tiga kali berturut-turut, iaitu pada 1990, 1992 dan 1994.

"Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan pasukan dalam tempoh berkenaan, tetapi juga visi, dedikasi dan kepimpinan Mohamad Taha dalam membina budaya dan identiti sukan yang kukuh untuk Sarawak," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan