KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- MNRB Holdings Bhd memeterai perjanjian pembelian saham bersyarat untuk mengambil alih baki 80 peratus kepentingan ekuiti dalam Labuan Reinsurance (L) Ltd (Labuan Re) pada harga pertimbangan tunai RM400.49 juta atau US$100.69 juta (US$1=RM3.97).
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat pegangan kewangan itu berkata cadangan pengambilalihan itu memanfaatkan hubungan sedia ada antara MNRB dengan Labuan Re dan menandakan langkah penting dalam memperkukuh kehadiran antarabangsa MNRB dan anak-anak syarikatnya dalam bidang insurans semula.
Pengerusi MNRB Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata pengambilalihan itu merupakan langkah yang bermakna dalam perjalanan pertumbuhan MNRB dan mencerminkan keyakinan terhadap potensi jangka panjang Labuan Re sebagai sebahagian daripada kumpulan berkenaan.
“Labuan Re telah membina kehadiran yang diyakini dalam pasaran insurans semula di peringkat antarabangsa dan kami percaya menyatukan sepenuhnya ke dalam MNRB akan mewujudkan platform yang lebih kukuh untuk pertumbuhan masa hadapan.
“Sebagai sebuah kumpulan, kami kekal fokus untuk membina skala perniagaan secara bertanggungjawab, memperkukuh kerelevanan serantau kami dan memastikan modal kami diagihkan dengan cara yang menyokong penciptaan nilai mampan,” katanya.
Sulaiman berkata transaksi itu sejajar dengan hala tuju tersebut dan memperkukuh komitmen syarikat untuk memajukan MNRB sebagai sebuah kumpulan insurans semula dan takaful semula yang lebih kukuh dan berdaya tahan.
MNRB memaklumkan cadangan pengambilalihan itu melibatkan pembelian 120 juta saham biasa dalam Labuan Re yang mewakili baki 80 peratus kepentingan ekuiti, daripada sebuah konsortium institusi kewangan Malaysia dan entiti berkaitan kerajaan.
“Harga pembelian ini akan diselesaikan secara tunai dan dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman luaran.
“Transaksi ini tertakluk kepada syarat-syarat lazim, termasuk kelulusan daripada pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan dan pemegang saham MNRB yang tidak berkepentingan dan dijangka selesai menjelang suku keempat 2026,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial