SHAH ALAM, 19 Mei (Bernama) -- Seorang suri rumah yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) sebelum ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komen jelik kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook miliknya, hari ini dituduh semula di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan sama.
Suhaila Abd Halim, 40, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan selepas dibacakan sekali lagi terhadapnya.
Dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen jelik sifatnya kepada Yang di-Pertuan Agong dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dan ia dilihat pada 8.30 pagi, 5 Jan 2025 di Hospital Sungai Buloh dalam daerah Petaling.
Ibu kepada enam anak itu dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan, hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fadhli Ab Wahab bersama Pegawai Pendakwa MCMC Mohamad Azmir Mohd Razali sementara Suhaila diwakili peguam Rushilan Gunalan.
Fadhli mencadangkan jumlah jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin manakala Rushilan memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya masih mempunyai anak yang menyusu badan dan merupakan golongan B40.
Hakim Nor Hasniah Ab Razak membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan untuk melapor diri di pejabat MCMC berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai dan menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Pada 7 Julai tahun lepas, Suhaila mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan itu namun dia dilepas tanpa dibebaskan pada 17 Sept 2025 berikutan keputusan Mahkamah Rayuan mengenai perkataan "jelik" dan "menyakitkan hati", tahun lepas.
Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa perkataan "jelik" dan "menyakitkan hati" dalam Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah tidak berperlembagaan serta membatalkannya selepas membenarkan rayuan aktivis Heidy Quah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak samannya pada 2023.
Mahkamah Persekutuan pada 6 Feb lepas, kemudiannya memutuskan bahawa perkataan "jelik" dan "menyakitkan hati" di bawah Seksyen 233 adalah sah serta selaras dengan Perlembagaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial