AM

Sebar Berita Palsu Harga Minyak, Individu Didenda RM4,000

18/05/2026 09:34 PM

PUTRAJAYA, 18 Mei (Bernama) -- Seorang individu didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang hari ini selepas mengaku bersalah menyebarkan maklumat palsu berkaitan harga petrol dan diesel menerusi media sosial.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan Nur Irsalina Omar Kumar didakwa memuat naik hantaran yang disunting menyerupai kandungan rasmi Buletin TV3 melalui akaun Threads miliknya, “its.ellsaleena_” pada 31 Mac lepas.

"Hantaran tersebut mengandungi maklumat palsu mengenai kenaikan harga bahan api. Tindakan itu telah mengelirukan orang ramai serta mencetuskan kegusaran awam berhubung isu kos sara hidup," menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Irsalina, yang membayar denda itu, didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya.

Menurut MCMC, penyebaran maklumat palsu khususnya yang melibatkan isu kepentingan awam boleh memberi kesan negatif terhadap kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi dan menggunakan platform dalam talian secara bertanggungjawab.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan