EKONOMI

Kazan Mula Kembali Bangkit, Tempa Semula Kegemilangan

17/05/2026 03:15 PM

Daripada Nor Baizura Basri

 

KAZAN (Rusia), 17 Mei (Bernama) -- Jalan Bauman di sini, terkenal sebagai nadi bagi kalangan pejalan kaki dan menjadi hab sosial, dengan horizonnya dipenuhi kerancakan bual bicara dan gelak ketawa apabila keluarga dan rakan-rakan meluangkan masa bersama.

Persembahan pemuzik jalanan menambahkan lagi warna pada atmosfera langit kehidupan kota ini.

Ibu kota bagi Tatarstan, sebuah wilayah separa autonomi di bawah Rusia, dihuni lebih sejuta penduduk dan aktif dalam pelbagai kegiatan perindustrian.

Ketika berlangsungnya Forum Ekonomi Antarabangsa Ke-17 'Rusia-Dunia Islam: KazanForum 2026' di sini, hanya sekitar 30 minit dari Jalan Bauman, suasana bandar menjadi semakin rancak.

Kalangan delegasi dan peserta daripada pelbagai negara memenuhi ruang kota, menjadikan jalan itu lokasi santai pilihan untuk berjalan dan berbual dengan berkongsi cerita dan pengalaman.

Kazan berada di kedudukan strategik berhampiran Sungai Volga yang mengalir sepanjang 3,531 kilometer merentas barat Rusia bermula dari Bukit Valdai di barat laut Moscow sebelum berakhir di Laut Caspian.

Kelebihan geografi itu pernah menjadikan kota ini sebagai antara pusat perdagangan Eurasia  penting di dunia sebelum pengaruhnya merosot akibat penaklukan kuasa luar.

Sungai yang digelar “Mother Volga” itu menyimpan nilai ekonomi yang tinggi dan sejarah yang besar bukan semata-mata bagi Kazan malah juga buat dunia kerana pernah menjadi laluan utama perdagangan dan pengangkutan penting yang menghubungkan Laluan Sutera dengan jaringan perdagangan Viking ketika abad ke-8 hingga ke-11.

Meskipun Kazan masih kekal sebagai titik pertemuan penting antara Rusia, negara Islam dan rantau Asia namun, ramai yang kurang mengenalinya sehinggalah kota ini menjadi tuan rumah bagi penganjuran forum ekonomi Kazan.

Nama Kazan terus melonjak di pentas antarabangsa apabila Rusia mempengerusikan BRICS pada 2024, ketika organisasi antara kerajaan itu kian menjadi tumpuan dunia susulan penyertaan lebih banyak negara, termasuk Malaysia yang menyertai blok 11 negara itu sebagai negara rakan BRICS.

Edisi ke-17 forum tahun ini dengan pesona kota Kazan terus mencuri perhatian apabila Rusia dan negara-negara Islam berkumpul untuk menilai perkembangan dunia susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran yang mengganggu kerancakan perdagangan global.

Forum bertemakan “Russia-Islamic World: Trust and Cooperation” itu menghimpunkan lebih 22,000 peserta dari 93 negara termasuk pegawai kerajaan, pelabur dan tokoh korporat bagi memperkukuh hubungan ekonomi dan budaya antara Rusia dan dunia Islam.

Acara itu turut menjadi platform penting untuk kalangan negara mencari sumber alternatif serta memperkukuh kerjasama ketika kekurangan bekalan global semakin meruncing akibat perang AS-Iran.

“Serangan terhadap infrastruktur di Teluk Parsi serta gangguan di Selat Hormuz sememangnya memberi kesan besar kepada kita.

“Oleh itu, dialog di sini amat penting untuk kita membincangkan cabaran ini,” kata Pengarah Eksekutif  Forum Abu Dhabi Demi Keamanan, Emiriah Arab Bersatu, Khalifa Mubarak Aldhaheri ketika sesi pleno mesyuarat tahunan Strategic Vision Group “Russia-Islamic World” pada Jumaat.

 

Rizab Minyak yang Besar

Memandangkan pengeluar minyak utama dunia seperti Arab Saudi menghadapi kekurangan bekalan, perhatian tertumpu kepada Rusia, yang kini mempunyai pengeluar minyak ketiga terbesar di dunia.

Tatarstan menempatkan medan Romashkinskoye, medan minyak terbesar di Tatarstan dan kedua terbesar di Rusia.

Medan Romashkinskoye yang terletak di bahagian tenggara Tatarstan itu menyimpan kira-kira satu bilion tan sumber minyak yang telah disahkan.

Malaysia merupakan antara negara Asia yang sedang mencari bekalan minyak dari Rusia dan rizab itu dilihat mempunyai potensi besar.

Selain itu, Tatneft, satu daripada lima pengeluar minyak utama dengan operasi utama di Kazan, bukan sahaja tertumpu pada perniagaan tradisional malah juga berkembang dengan menceburi sektor tenaga boleh baharu dan bioteknologi, yang menawarkan potensi masa depan yang amat cerah.

 

Budaya, Nilai yang Sehaluan

Ketua Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov berkata perubahan alaf yang besar mula membentuk semula sistem hubungan antarabangsa global, dengan wujudnya order multipolar dunia baharu yang menjadi antara trend penentuan.

"Perkembangan ini mendorong pencarian bentuk kerjasama baharu antara Rusia dan negara-negara dunia Islam," katanya.

Beliau berkata Rusia, sebagai sebuah negara multinasional, mempunyai pengalaman unik dalam membina dialog dengan agama-agama tradisional dunia.

"Bukan suatu kebetulan apabila kalangan wakil pelbagai agama ini hidup bersama dan berinteraksi secara aman di negara kami selama berabad-abad.

"Satu contoh jelas keharmonian antara agama itu dapat disaksikan ialah di Republik Tatarstan. Di Kremlin Kazan, Masjid Kul Sharif berdiri megah berhampiran Katedral Orthodox Annunciation, selain banyak lagi lokasi dengan rumah ibadat pelbagai agama wujud bersama dan harmoni," katanya.

Persamaan budaya dan nilai yang dapat dirasai di Kazan sememangnya memberi keselesaan serta rasa dekat kepada dunia Islam, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa depan.

Hospitaliti Kazan pula cukup mengagumkan.

Pastinya, inilah antara kekuatan utama Rusia, dipacu oleh keupayaan dalaman Kazan itu sendiri yang terus meneroka ruang kerjasama lebih luas dengan negara-negara Islam bagi tempoh mendatang.

Mungkin belum sepenuhnya terserlah buat masa ini, namun Kazan yang sebelum ini sering dianggap “gergasi tidur”, sedang bangkit semula perlahan-lahan, melangkah gagah untuk merealisasikan potensi dan menjulang semula kegemilangannya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan