KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil kira aspek potensi senario akibat konflik Asia Barat ketika melakukan unjuran pertumbuhan dan inflasi 2026, kata Gabenor Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
“Kami telah mengambil kira beberapa kemungkinan perubahan senario (dalam penilaian kami). Kerajaan sedang meneliti perkara ini secara menyeluruh,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2026 Malaysia yang mencecah 5.4 peratus, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai unjuran bank pusat itu berkaitan pertumbuhan dan inflasi susulan konflik geopolitik itu.
Menjelaskan selanjutnya, Abdul Rasheed berkata berikutan itu, BNM mengekalkan unjuran pertumbuhan negara pada julat 4-5 peratus tahun ini.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa asas-asas ekonomi Malaysia yang kukuh mampu menjadi penampan terhadap kesan kejutan luaran.
Unjuran antarabangsa bagi pertumbuhan Malaysia kekal dalam julat dijangkakan BNM dengan Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan 4.4 peratus, Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) sebanyak 4.6 peratus manakala Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak 4.7 peratus.
Abdul Rasheed berkata kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga, turut menjadi penampan terhadap tekanan luaran manakala pemacu pertumbuhan yang pelbagai pula terus menyokong daya tahan ekonomi, disokong oleh permintaan domestik dan eksport yang kukuh.
Dalam pada itu, Malaysia meraih manfaat daripada momentum pertumbuhan yang kukuh serta diteruskan daripada suku keempat 2025 serta suku pertama 2026, didorong oleh daya tahan sektor elektrik dan elektronik (E&E).
Dari segi struktur, kitaran teknologi dipacu kecerdasan buatan (AI) ketika ini, juga dijangka terus menyokong eksport E&E dan memaparkan kedudukan baik Malaysia dalam ekosistem semikonduktor dan perkhidmatan pembuatan elektronik global, katanya.
Beliau berkata penglibatan negara yang ketara dalam pembungkusan maju serta bekalan komponen penting, hanya mengukuhkan lagi pembabitan negara dalam aktiviti nilai tambah tinggi.
Perkembangan sedemikian, katanya, terbukti memberi limpahan positif yang menyokong segmen jentera dan peralatan, sekali gus memperluas sumber momentum pertumbuhan.
Selain itu, “persekitaran inflasi yang rendah dan stabil turut membantu dari segi menjadi asas kestabilan makroekonomi,” katanya.
Namun, Abdul Rahseed mengingatkan inflasi berkemungkinan mencecah sehingga 2.5 peratus pada tahun ini akibat tekanan kos luaran.
Bagi suku pertama 2026, inflasi keseluruhan bagi suku pertama 2026 menokok kepada 1.6 peratus daripada 1.3 peratus pada suku keempat 2025 manakala inflasi teras menyederhana kepada 2.1 peratus daripada 2.3 peratus sebelum ini.
Mengulas impak ke atas perniagaan, beliau berkata daya tahan syarikat atau firma ini kekal ketara dalam jangka masa terdekat (suku kedua 2026) susulan langkah-langkah mengimbanginya seperti inventori sedia ada selain strategi penyumberan alternatif.
“Pertama, walaupun paras inventori ini berbeza, syarikat-syarikat ini mempunyai simpanan purata selama tiga bulan hingga empat bulan. Ini boleh digunakan untuk mengekalkan pengeluaran selain menjadi penampan terhadap kenaikan kos bahaan mentah.
“Kedua, ada segelintir syarikat yang bertindak mengambil input daripada pembekal alternatif seperti China dan Amerika Syarikat pada premium lebih tinggi dan tertakluk kepada kawalan eksport,” katanya.
Abdul Rasheed berkata syarikat-syarikat turut meneroka pasaran eksport baharu yang melangkaui Asia Barat dan beralih ke arah jentera yang kurang menggunakan atau bergantung kepada bahan api.
Beliau bagaimanapun mengingatkan, walaupun langkah-langkah ini dapat membantu mengehadkan sebahagian daripada kenaikan kos dan gangguan bekalan, masih wujud kebimbangan mengenai risiko penurunan pada separuh kedua 2026 sekiranya konflik itu terus berlanjutan, termasuk peningkatan kos, penyusutan hasil, penangguhan pelaburan dan mengurangkan hasrat pengambilan pekerja.
Menyentuh aspek perbankan pula, beliau berkata bank-bank kekal berada dalam kedudukan baik bagi menyokong pengantaraan kewangan.
Kualiti aset bank juga, katanya, kekal kukuh dengan peruntukan secara berhemat bagi menyerap potensi berlaku kerugian walaupun paras rosot nilai rendah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial