AM

Bila Bab Haji, Tiada Siapa Boleh Potong Giliran - Ezad Lazim

17/05/2026 02:35 PM

Daripada Amirul Mohd Sajadi

MAKKAH, 17 Mei (Bernama) -- Pada saat ramai melihat kehidupan selebriti sentiasa dipenuhi kemewahan dan kemudahan, penyanyi terkenal Ezad Lazim mendedahkan peluang menunaikan ibadah haji bukan sesuatu yang boleh dibeli dengan populariti atau nama besar.

Sebaliknya, pelantun utama kumpulan Exists itu berkata beliau bersama isteri, Zeana Ramli, turut melalui tempoh penantian panjang sama seperti jutaan pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) lain sebelum akhirnya terpilih menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Ramai fikir bila jadi artis, duit ada, nama dikenali, jadi semuanya mudah tetapi bila bab haji, tidak ada siapa dapat potong giliran atau beli panggilan Allah.

“Kami menunggu lama. Alhamdulillah, tahun ini isteri saya terlebih dahulu menerima tawaran, manakala saya membuat rayuan sebagai mahram sebelum akhirnya kami sama-sama terpilih. Perasaan itu memang sukar diungkap dengan kata-kata,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Ezad yang terkenal menerusi lagu Usah Tinggal Daku Kekasih berkata pengalaman berada di Tanah Suci membuka matanya mengenai hakikat kehidupan dan kedudukan manusia di sisi Allah.

Katanya, saat mengenakan ihram dan melihat jutaan manusia berhimpun dengan tujuan yang sama, beliau benar-benar memahami bahawa kemasyhuran tidak membawa apa-apa makna.

“Di sini tiada siapa kenal kita sebagai artis. Yang ada cuma kita dengan dosa-dosa kita, doa-doa kita dan harapan untuk diampunkan,” katanya dengan nada sebak.

Menurut beliau, pengalaman paling menyentuh hati adalah setiap kali melangkah ke Masjidil Haram dan berdiri di hadapan Kaabah.

“Ada masa saya tidak mampu bercakap. Air mata datang sendiri. Bila tengok Kaabah, kita teringat siapa diri kita sebenarnya… segala yang kita kejar di dunia tiba-tiba rasa sangat kecil,” katanya.

Sementara itu, Zeana berkata perjalanan untuk bergelar duyufurrahman bukan sesuatu yang mudah kerana dia mendaftar haji pada 2009 selepas pulang dari umrah pertama setahun sebelumnya.

“Selama 17 tahun saya menabung, bersedia dari segi mental, emosi dan kewangan. Saya memang sasar tahun ini adalah tahun saya,” katanya.

Sepanjang tempoh menunggu, Zeana berkata dia konsisten bangun seawal empat atau lima pagi untuk menunaikan solat taubat, solat hajat dan solat tahajud dengan satu niat kukuh iaitu dijemput menjadi tetamu Allah.

“Bila panggilan itu datang, saya rasa seperti Allah jawab doa yang saya simpan bertahun-tahun. Masa itu saya faham, haji bukan soal mampu… tapi soal dipanggil,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan