ARAU, 17 Mei (Bernama) -- Menjadi “Dubai Kedua” merupakan visi yang tidak mustahil untuk dicapai oleh Perlis pada masa depan kerana negeri itu memiliki tarikan luar biasa yang bersempadan dengan Thailand, titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah baginda ingin melihat Perlis sebagai “Dubai Kedua” yang mungkin bagi pandangan orang lain ia terlampau besar, namun itu merupakan visi baginda untuk masa depan negeri itu.
“Kita tengok ke belakang, Dubai 50 tahun dahulu...tak ada lagi bangunan tinggi, cuma sekarang ini kita lihat pembangunan lebih pesat (di Dubai). Kita pun ada peluang itu dengan Perlis Inland Port (PIP) (contohnya).
“Tetapi rakyat dan kerajaan mestilah bekerja dengan lebih kuat untuk mencapai visi itu,” titah baginda pada sesi pertama Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Perlis di Istana Arau di sini hari ini sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-83.
Turut berangkat pada istiadat penganugerahan itu Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Pada 4 Mei lepas, Bernama melaporkan Tuanku Syed Sirajuddin meyakini Perlis mampu muncul sebagai “Dubai Kedua”, iaitu pintu gerbang terbuka kepada negara ASEAN.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah mengimbau keadaan kira-kira 10 tahun lepas kerajaan negeri bekerja keras untuk menarik pelancong ke Perlis dan kini ramai sudah berminat untuk datang melancong kerana tarikan luar biasa yang ada termasuk dari segi makanan.
“Alhamdulillah, hari ini mereka yang mari dari Thailand singgah di Perlis, dari Langkawi singgah di Perlis, ada yang mari khas untuk ke negeri Perlis, kerana kita ada tarikan luar biasa. Kita kenalah tambahkan tarikan itu, kita kena kuatkan lagi pemasaran.
“Supaya banyak (lagi) pelancong mari negeri Perlis dan beta percaya satu hari nanti Perlis boleh jadi lagi satu “Dubai”, ingat Rome wasn’t built in a day, kita mesti ada visi dan niat untuk mencapainya,” titah baginda.
Pada istiadat penganugerahan itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mendahului senarai 24 penerima darjah kebesaran dengan pengurniaan Darjah Kebesaran Seri Setia Syed Sirajuddin Jamalullail (S.S.S.J) yang membawa gelaran Datuk Seri Diraja.
Selain itu, Raja Perlis turut berkenan mengurniakan S.S.S.J kepada Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Tengku Puteri Mahkota Perlis Datuk Seri Datin Paduka Hajah Sharifah Fazira Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (S.P.M.P) yang membawa gelaran Datuk Seri pada istiadat penganugerahan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial