AM

Perkukuh Sistem Sokongan Warga Emas, Bukan Gubal Undang-undang Penjagaan Wajib - Lee

17/05/2026 12:19 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Kerajaan dan masyarakat perlu memberi penekanan lebih besar terhadap usaha memperkukuh sistem sokongan untuk warga emas termasuk penambahbaikan penjagaan kesihatan, perlindungan sosial lebih kukuh, sokongan emosi serta perkhidmatan penjagaan mudah diakses, berbanding mengambil pendekatan undang-undang berbentuk hukuman, kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata masyarakat yang penyayang tidak boleh bergantung semata-mata kepada undang-undang, sebaliknya perlu dibina atas asas belas ihsan, kesedaran hati nurani dan nilai kekeluargaan yang kukuh.

“Ibu bapa mengabdikan seluruh hidup mereka untuk membesarkan anak-anak, mendidik dengan penuh kasih sayang, berkorban serta menyediakan pendidikan, perlindungan dan pelbagai peluang. Justeru, tanggungjawab anak-anak menjaga ibu bapa yang sudah lanjut usia perlu datang daripada keikhlasan hati, bukannya kerana rasa takut terhadap hukuman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata kerajaan sedang meneliti cadangan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan penjagaan ibu bapa bagi memastikan tanggungjawab sosial terhadap golongan berkenaan tidak diabaikan.

Walaupun mengakui cadangan berkenaan lahir daripada kebimbangan yang semakin meningkat terhadap isu pengabaian warga emas, Lee berkata penggunaan undang-undang sebagai paksaan untuk memastikan anak-anak berbakti kepada ibu bapa mencerminkan kemerosotan nilai masyarakat yang lebih serius, yang perlu ditangani daripada akar umbi.

Bagi menangani perkara itu, beliau menyarankan pihak sekolah, komuniti, institusi keagamaan dan keluarga supaya terus menanam nilai berbakti kepada ibu bapa, rasa syukur serta empati dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata kempen menyeluruh yang menggalakkan nilai kekeluargaan serta pendidikan moral yang lebih kukuh mampu memainkan peranan penting dalam memperkukuh ikatan kekeluargaan.

“Tiada undang-undang yang mampu menggantikan kasih sayang dan rasa terima kasih yang ikhlas. Penjagaan terbaik terhadap ibu bapa sebenarnya lahir daripada hati, bukannya daripada paksaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan