PUTRAJAYA, 17 Mei (Bernama) -- Sebanyak 59.2 peratus pekerja yang menjalani Program Saringan Kesihatan (HSP) anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi tempoh 2023 hingga 2025 didapati mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata dapatan itu turut menunjukkan kira-kira 19 peratus daripada mereka menghidap diabetes manakala 17.45 peratus pekerja mempunyai tekanan darah tinggi.
Beliau berkata analisis itu juga menunjukkan kira-kira 59.24 peratus yang menjalani saringan didapati mempunyai masalah kolesterol tinggi dengan profil risiko terlibat berada dalam kalangan pekerja berusia 40 hingga 59 tahun.
"Kita perlu sedar bahawa memasuki fasa usia sebelum persaraan ialah tempoh produktif, tetapi pada masa yang sama, ia merupakan tempoh kritikal bagi risiko penyakit tidak berjangkit (NCD).
"Malah, Kementerian Kesihatan juga mendedahkan hanya 14.7 peratus warga emas di Malaysia ketika ini dapat mencapai tahap penuaan sejahtera," katanya berucap pada majlis perasmian program PERKESO Run and Ride 2026 sempena Hari Pekerja 2026 di sini hari ini.
Program itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang menjalankan tugas Ketua Setiausaha KESUMA Dr Mohd Shaharin Umar, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Rahimi Ismail, Pengerusi Lembaga PERKESO Datuk Seri Subahan Kamal serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Khairul Firdaus turut menyuarakan kebimbangan terhadap penyakit kanser yang kekal sebagai punca kematian ketiga tertinggi dalam kalangan rakyat Malaysia yang kini semakin kerap berlaku dalam kalangan usia muda.
Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan agar kesedaran mengenai bahaya NCD tidak dipandang ringan dan pekerja disarankan untuk membudayakan hidup sihat serta pemakanan seimbang.
Mengenai PERKESO Run and Ride 2026, Khairul Firdaus berkata program itu menunjukkan momentum positif dengan kadar penyertaan hari ini menunjukkan kelompok peserta berusia 40 hingga 50-an mewakili hampir 30 peratus daripada keseluruhan peserta.
"Perkembangan yang amat baik dan saya harap semua pekerja tanpa mengira peringkat umur akan terus membudayakan corak hidup sihat.
"Hal ini kerana aspek kesihatan pekerja adalah penentu produktiviti kita, malah secara tidak langsung mempengaruhi kelangsungan sosioekonomi," katanya.
Penganjuran PERKESO Run and Ride 2026 yang memasuki edisi kesembilan tahun ini, menerima penyertaan terbesar dengan 12,000 individu menyertai program tersebut, sekali gus memanifestasi sokongan KESUMA dalam menggerakkan perubahan gaya hidup secara kolektif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial