KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melancarkan inisiatif nasional baharu iaitu Pemacu Anjakan Kemahiran dan Kebolehkerjaan (PACE) dengan peruntukan keseluruhan RM100 juta bagi memperkukuh pembangunan modal insan dan meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja negara.
Menterinya Datuk Seri R. Ramanan berkata inisiatif menerusi Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) itu merupakan antara langkah strategik kerajaan dalam memastikan rakyat memiliki kemahiran relevan dengan keperluan industri semasa dan masa depan, sekali gus memperkukuh daya saing negara di peringkat global.
Beliau berkata inisiatif itu dirangka secara menyeluruh dengan memberi fokus kepada pembangunan bakat, latihan kemahiran, transformasi tenaga kerja serta penciptaan peluang ekonomi yang lebih inklusif kepada rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“PACE bukan sekadar program latihan biasa, sebaliknya satu pelaburan besar kerajaan untuk membina tenaga kerja masa depan yang lebih berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan mampu memenuhi tuntutan ekonomi baharu yang semakin dipacu teknologi dan inovasi,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena pengumuman rasmi inisiatif berkenaan yang dilaksanakan dengan sokongan penuh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk memperkasa pembangunan insan dan meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pekerjaan berkualiti.
Melalui pelaksanaan PACE, sebanyak 10 program strategik akan diperkenalkan meliputi pelbagai bidang termasuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), pembangunan bakat belia, transformasi ekonomi digital, pengukuhan perusahaan tempatan, pembangunan wilayah serta peningkatan kebolehpasaran pekerja gig dan komuniti inklusif.
Ramanan berkata pendekatan yang diambil menerusi PACE memberi penekanan kepada pelaburan bersasar bagi memastikan setiap inisiatif memberikan impak jelas dan boleh diukur kepada rakyat serta ekonomi negara.
Pada masa sama, beliau berkata program berkenaan turut dirangka untuk melahirkan tenaga kerja yang lebih produktif, inovatif dan bersedia menghadapi perubahan landskap pekerjaan masa depan.
Beliau berkata pembangunan modal insan merupakan asas penting dalam memastikan Malaysia terus bergerak sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi yang kompetitif dan mampan.
“Kerajaan MADANI komited memastikan tiada golongan tercicir dalam arus pembangunan negara. Melalui PACE, kita mahu membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk meningkatkan kemahiran, memperkukuh pendapatan dan membina masa depan lebih baik untuk diri serta keluarga mereka,” katanya.
Ramanan menambah KESUMA yakin pelaksanaan PACE akan menjadi pemangkin kepada transformasi tenaga kerja negara, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab bakat dan kemahiran utama di rantau ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial