AM

Melaka Sasar Pengeluaran Fasa Kedua Benih Padi Awal Tahun Depan-exco

17/05/2026 12:35 PM

MELAKA, 17 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka menyasarkan pengeluaran fasa kedua benih padi menerusi projek Ladang Benih Padi Melaka awal tahun depan bagi membantu pesawah mendapatkan bekalan benih dengan harga lebih murah dan berpatutan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata projek sedia ada di Kampung Tengah Padang, Merlimau itu dijangka memasuki fasa kedua sekitar Oktober ini selepas musim tuaian padi.

“Inisiatif ini dijangka membolehkan pesawah mendapatkan benih padi pada harga lebih rendah iaitu sekitar RM50 bagi setiap kampit 20 kilogram berbanding harga pasaran semasa yang boleh mencecah RM70.

“Ketika ini harga benih padi di peringkat gudang sekitar RM48 bagi setiap kampit 20 kilogram, namun apabila sampai kepada pesawah harganya boleh meningkat sehingga RM70 disebabkan kos pengangkutan dan pengedaran,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Muhamad Akmal berkata menerusi projek Ladang Benih Padi Melaka itu, pesawah mungkin hanya perlu membayar tambahan sekitar RM2 bagi kos pengangkutan, sekali gus menjadikan harga akhir sekitar RM50.

Katanya, projek pertama penghasilan benih padi Melaka sebelum ini berjaya dilaksanakan dengan pengeluaran hampir 32 tan benih padi dan kerajaan negeri menyasarkan jumlah sama bagi fasa kedua projek berkenaan.

Dalam pada itu beliau berkata pengeluaran Beras Melaka ketika ini masih mengikut jadual dengan kapasiti sekitar 1,200 kampit sebulan.

“Permintaan terhadap Beras Melaka sangat menggalakkan dan bekalan yang diedarkan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka sedia ada kebiasaannya habis terjual dalam tempoh singkat.

“Insya-Allah kita akan meningkatkan lagi pengeluaran pada masa akan datang mengikut keperluan semasa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan