DUNIA

Xi Anjur Jamuan Makan Malam Sambut Kunjungan Trump Ke China

15/05/2026 01:54 PM

BEIJING, 15 Mei (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping mengadakan jamuan makan malam bagi mengalu-alukan kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke China di Dewan Besar Rakyat di sini pada Khamis.

Dalam ucapannya, Xi berkata tahun ini menandakan permulaan pelaksanaan Rancangan Lima Tahun Ke-15, Pembangunan Sosioekonomi Kebangsaan China (2026-2030), yang akan melonjakkan pemodenan ala China ke tahap baharu secara menyeluruh berasaskan pembangunan berkualiti tinggi.

Beliau berkata tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS, sambil menyifatkan rakyat China dan rakyat AS sebagai bangsa yang hebat.

"Wawasan pembangunan kedua-dua negara, iaitu “Memperjuangkan Kebangkitan Bangsa China” dan “Menjadikan Amerika Hebat Semula” (MAGA), tidak bercanggah antara satu sama lain, sebaliknya mempunyai keserasian yang boleh membawa manfaat kepada pihak lain malah seluruh dunia," kata Xi.

Beliau turut mengimbas kembali “Diplomasi Ping-Pong” pada 55 tahun lalu, yang berjaya memulihkan hubungan dua hala China-AS selepas lebih dua dekad terhenti.

“Dalam situasi baharu ketika ini, saya dan Presiden Trump memilih mengekalkan pertemuan atau perbualan melalui telefon bagi memastikan hubungan China-AS kekal stabil secara keseluruhan,” kata Xi.

Mengulas lanjut, Xi berkata kedua-dua pihak sependapat bahawa hubungan China-AS merupakan antara hubungan dua hala paling penting di dunia ketika ini dan perlu diurus dengan baik bagi mengelakkan sebarang kemudaratan.

Beliau menegaskan China dan AS seharusnya menjadi rakan, bukan lawan atau seteru.

Menurut Xi, kedua-dua negara juga bersetuju membina “Hubungan Strategik yang Stabil dan Konstruktif” serta menggalakkan hubungan dua hala berkembang ke arah yang stabil, sihat dan mampan, sekali gus membawa lebih banyak keamanan, kemakmuran dan kemajuan kepada dunia.

"Ketika merenung kembali sejarah perkembangan hubungan China-AS, boleh didapati bahawa kunci kepada kestabilan hubungan dua hala bergantung kepada sikap saling menghormati, hidup bersama secara aman dan bekerjasama demi kemenangan bersama," kata beliau.

Xi menegaskan bahawa kedua-dua negara perlu memikul tanggungjawab bersejarah untuk memastikan hubungan China-AS terus berkembang di landasan yang betul, ibarat sebuah kapal besar yang belayar lancar dan stabil mengikut laluan yang menjanjikan.

Sementara itu, Trump menegaskan hubungan AS-China merupakan hubungan dua hala paling penting di dunia, dan kedua-dua negara perlu memperkukuh kerjasama bagi mencipta masa depan yang lebih baik untuk dunia.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan