AM

Kerajaan Pahang Adakan Pertemuan Dengan NRES Bincang Pengurusan Pasir Minggu Depan

15/05/2026 03:40 PM

KUANTAN, 15 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pahang akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) minggu hadapan bagi membincangkan isu pengurusan dan eksport pasir sungai negeri itu secara menyeluruh.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata perbincangan itu penting bagi memastikan kepentingan negeri, kesejahteraan rakyat serta peningkatan hasil negeri dapat dijana secara optimum.

“Isu ini tidak wajar dipolemikkan atau dilihat hanya dari sudut keuntungan komersial semata-mata. Sebaliknya, ia perlu difahami dalam konteks yang lebih luas melibatkan pengurusan alam sekitar, mitigasi banjir, kelangsungan industri, peluang ekonomi serta sumber hasil kepada negeri,” katanya

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

 Selain itu, Wan Rosdy berkata Pahang turut menerima peruntukan di bawah inisiatif Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) yang disalurkan oleh NRES bagi menyokong usaha pemuliharaan kawasan perlindungan dan pengurusan biodiversiti secara mampan.

“Bagi tempoh 2023 hingga 2026, jumlah keseluruhan dana EFT yang diterima Taman Negara Pahang dianggarkan RM5 juta. Sebahagian peruntukan EFT digunakan bagi kerja baik pulih fasiliti, konservasi, pengukuhan program pengurusan kawasan perlindungan serta pemeliharaan biodiversiti di Taman Negara Pahang,” katanya.

Beliau berkata bagi tempoh 2020 hingga 2025, jumlah peruntukan pengurusan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan bagi operasi dan pentadbiran Taman Negara dianggarkan RM30.5 juta, manakala peruntukan bagi penaiktarafan infrastruktur, penyelenggaraan fasiliti serta pembangunan kemudahan pelancongan dan konservasi dianggarkan RM9.57 juta.

“Peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan pengurusan dan pemeliharaan Taman Negara Pahang dilaksanakan secara berkesan dan mampan,” katanya. 

Sementara itu, Wan Rosdy berkata susulan krisis bekalan global, beliau berkata kerajaan negeri telah melaksanakan inisiatif dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) dan menyediakan peruntukan bagi pelaksanaan Program Bakti Negeri (BN) Pahang, iaitu program agihan bantuan bakul makanan kepada golongan yang terkesan serta memerlukan. 

Beliau berkata kerajaan negeri juga menyalurkan Baucar Bantuan Negeri (BN) Pahang bernilai RM50 bagi setiap baucar kepada golongan yang memerlukan untuk pembelian barangan keperluan asas dengan kerjasama pasar raya di seluruh Pahang

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan