EKONOMI

Konflik Iran Mungkin Tingkat Aktiviti Penggerudian Di Perairan Sabah -LCC

15/05/2026 03:33 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 15 Mei (Bernama) -- Konflik yang belum selesai melibatkan Iran dijangka memacu aktiviti penggerudian minyak yang lebih aktif di perairan Sabah, kata Pengerusi Biro Minyak dan Gas Dewan Perniagaan Labuan (LCC) Masnawi Nawe.

Beliau berkata ketidakstabilan yang berlarutan di rantau Teluk termasuk risiko gangguan terhadap laluan bekalan minyak global mendorong para pengendali untuk menilai semula perancangan huluan serta mempercepat aktiviti penerokaan dan pengeluaran di kawasan pengeluaran yang secara relatifnya stabil.

"Perairan Sabah terletak di kedudukan strategik dalam landskap minyak dan gas (O&G) luar pesisir Malaysia dan sebarang ketidaktentuan yang berlarutan di Asia Barat secara semula jadi akan meningkatkan tumpuan terhadap wilayah pengeluaran seperti Borneo (Sabah).

"Ini tidak bermakna aktiviti akan bermula dalam sekelip mata, tetapi tekanan terhadap jaminan bekalan global akan memberikan justifikasi yang lebih kukuh untuk lebih banyak kerja berkaitan penggerudian, penyelenggaraan, sokongan dan kerja-kerja berkaitan pengeluaran," katanya kepada Bernama hari ini.

Pasaran tenaga global terjejas akibat konflik Iran dengan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) memberi amaran bahawa bekalan minyak mungkin tidak mencukupi untuk menampung permintaan pada tahun ini disebabkan oleh gangguan yang melibatkan Iran dan rantau Teluk secara lebih meluas.

Masnawi berkata impak tersebut bukan sahaja akan dilihat di perairan Sabah, malah juga di Labuan yang terus berfungsi sebagai pangkalan sokongan penting bagi operasi O&G luar pesisir di rantau Laut China Selatan termasuk perairan yang dikaitkan dengan koridor Laut Filipina Barat.

Beliau berkata peranan Labuan sebagai pusat logistik, pertukaran kru, sokongan marin dan perkhidmatan luar pesisir kini semakin ketara dengan lebih banyak kru perkhidmatan berkaitan penggerudian O&G dilihat bergerak melalui pulau tersebut.

"Labuan bukan sahaja menyokong medan luar pesisir berhampiran, malah ia juga sebahagian daripada rantaian sokongan luar pesisir yang lebih luas bagi kapal, kontraktor penggerudian dan penyedia perkhidmatan yang beroperasi di perairan serantau.

"Kita sudah dapat melihat kehadiran lebih ramai kakitangan berkaitan O&G di Labuan terutamanya mereka yang terlibat dalam sokongan penggerudian, perkhidmatan marin, logistik dan penyelenggaraan luar pesisir," katanya.

Masnawi berkata sebarang peningkatan dalam aktiviti penggerudian di sekitar Sabah akan memberi kesan limpahan secara langsung kepada ekonomi Labuan terutamanya bagi logistik marin, penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, bengkel, bekalan tenaga kerja serta perkhidmatan berkaitan pelabuhan.

Beliau berkata Labuan mesti meletakkan kedudukannya secara lebih agresif sebagai hab sokongan luar pesisir yang dipercayai dengan meningkatkan kecekapan pelabuhan, putaran kapal, penyelarasan logistik, kesediaan tenaga kerja serta infrastruktur sokongan.

"Labuan mempunyai kelebihan dari segi lokasi, pengalaman dan ekosistem O&G sedia ada. Apa yang penting sekarang adalah untuk memastikan pulau ini bersedia bagi merebut gelombang peluang seterusnya dalam sektor huluan dan sokongan luar pesisir," katanya.

Tinjauan aktiviti terbaharu Petronas mengunjurkan aktiviti huluan yang lebih kukuh dengan Malaysia dijangka menyaksikan peningkatan dalam bilangan telaga yang akan dibangunkan dan diterokai pada 2026 berbanding 2025, selaras dengan usaha untuk memperkukuh jaminan tenaga domestik.

Beliau berkata sektor perkhidmatan dan peralatan O&G Sabah juga dilaporkan sedang menuju ke arah aktiviti luar pesisir yang lebih kukuh dalam tempoh beberapa tahun akan datang manakala Pengkalan Bekalan Asia Labuan kekal sebagai hab logistik utama yang menyokong aktiviti penerokaan, pembangunan dan pengeluaran luar pesisir.

Masnawi berkata jangkaan peningkatan dalam aktiviti luar pesisir itu harus dilihat sebagai peluang bagi syarikat-syarikat yang berpangkalan di Labuan untuk memperkukuh daya saing mereka dan mengambil bahagian dengan lebih aktif dalam rantaian nilai O&G serantau.

Beliau berkata syarikat tempatan tidak seharusnya sekadar menjadi pemerhati pasif sebaliknya perlu menyediakan aset, tenaga kerja dan tahap pematuhan mereka bagi memenuhi keperluan para pengendali serta kontraktor utama O&G.

"Peluang itu ada, tetapi kesediaan adalah kuncinya. Labuan perlu memastikan pemain industri tempatannya mampu memenuhi piawaian operasi, keperluan keselamatan dan jangkaan penyampaian," tambah beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan