TAWAU, 14 Mei (Bernama) -- Sebanyak 28 warga asing termasuk dua wanita didenda RM5,000 setiap seorang selepas masing-masing mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan berkaitan penipuan love scam dan pelaburan produk.
Kesemua tertuduh iaitu 27 warga China dan seorang warga Vietnam berusia antara 21 hingga 51 tahun, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum dan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka dalam Bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama-sama melakukan pakatan jenayah memperdaya mangsa dengan penipuan love scam serta mengadakan pelaburan dalam penjualan produk kegunaan harian yang menyasarkan warga Korea.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di empat premis perumahan di Batu 10 Jalan Apas di sini pada 9.20 pagi, 6 Mei lepas, mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam Choon Wen Shan yang mewakili kesemua tertuduh memaklumkan kepada kedua-dua Majistret bahawa pihak pembelaan dan pendakwaan bersetuju untuk setiap tertuduh membayar denda RM5,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial