AM

Inkubator Usahawan Siswa Gilap Bakat Pelajar UMT Dalam Bidang Keusahawanan

15/05/2026 10:23 AM

Oleh Balqis Jamaludin

KUALA TERENGGANU, 15 Mei (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melaksanakan program Inkubator Usahawan Siswa sebagai platform pembangunan bakat, inovasi dan pemerkasaan dalam bidang keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata inisiatif yang dilaksanakan pihaknya menerusi Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan sejak Oktober tahun lepas itu berfungsi sebagai pusat sehenti, yang menghimpunkan produk dihasilkan usahawan siswa universiti berkenaan.

“Di samping itu, inkubator berkenaan turut menyediakan ruang buat mahasiswa mendapatkan bimbingan perniagaan, latihan pembentangan idea perniagaan, pemantauan daripada industri serta sokongan pembangunan produk kepada mereka yang berminat membina, dan memperkembangkan produk masing-masing,” katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata setakat ini Inkubator Usahawan Siswa menawarkan 40 produk yang dihasilkan pelajar, dengan 10 daripada perniagaan yang mengeluarkan produk itu telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Produk berkenaan hasil daripada aktiviti keusahawanan pelajar merangkumi perniagaan persendirian, perkongsian dan juga melalui aktiviti yang dijalankan di fakulti masing-masing.

Selain dijual secara langsung kepada pelajar dan petugas universiti, produk yang ditempatkan di inkubator itu seperti sos pencicah, biskut, ikan tilapia salai, ikan hiasan dan produk makanan sedia dimakan juga digubah kepada bentuk cenderahati bagi penganjuran program universiti. 

“Walaupun kita telah bangunkan inkubator berkenaan pada Oktober tahun lepas, namun baru dilancarkan pada minggu lepas. Soal keuntungan bukan keutamaan kami tetapi lebih kepada pendedahan untuk berniaga dan latihan untuk memperkemas produk.

“Ia dijangka menjadi pemangkin baharu kepada ekosistem keusahawanan kampus, di samping memperluas jaringan kerjasama strategik antara universiti, industri, agensi dan alumni dalam memperkasakan pembangunan usahawan siswa negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan