Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Jumaat tetapi rendah kemudiannya walaupun prestasi semalaman Wall Street positif berikutan pelabur mengambil keuntungan dan berhati-hati menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2026 Malaysia hari ini.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI menurun 0.15 mata kepada 1,745.43 daripada 1,745.58 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 2.11 mata kepada 1,747.69.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 195 berbanding 190 manakala 342 kaunter tidak berubah, 2,011 tidak diniagakan dan 47 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 266.94 juta saham bernilai RM16.72 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street mencatatkan sesi dagangan semalaman yang kukuh, dengan Nasdaq dan S&P 500 mencapai paras tertinggi baharu manakala Dow Jones Industrial Average ditutup melebihi paras 50,000, disokong oleh pendapatan korporat yang baik serta pertemuan produktif antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping.
Beliau berkata peniaga sebahagian besarnya kekal tidak memasuki pasaran dengan tumpuan pasaran adalah pada perkembangan daripada pertemuan Trump-Xi dalam beberapa hari akan datang.
“Walaupun aktiviti dagangan agak perlahan, kami percaya minat terhadap saham permodalan kecil meningkat.
“Oleh itu, kami menjangka indeks diniagakan dalam julat 1,740 hingga 1,760 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM11.18, Public Bank meningkat enam sen kepada RM4.89, CIMB naik tiga sen kepada RM7.93, Tenaga Nasional menambah 16 sen kepada RM14.64 manakala IHH Healthcare menurun lima sen kepada RM8.97.
Bagi saham aktif, AirAsia berkurangan tiga sen kepada RM1.19, Nationgate meningkat dua sen kepada 89 sen, Genetec naik 3.5 sen kepada 36.5 sen manakala EG Industries menurun dua sen kepada RM1.47 dan HHRG tidak berubah pada lapan sen.
Kaunter paling untung termasuklah Malaysian Pacific melonjak RM1.26 kepada RM45.50, UMS Integration naik 61 sen kepada RM9.59, Fraser & Neave menambah 30 sen kepada RM29.00 dan MKH menokok 18 sen kepada RM1.31.
Dalam kalangan kaunter paling rugi, Nestle menurun RM1.10 kepada RM101.30, Petronas Dagangan berkurangan 64 sen kepada RM20.74, Gas Malaysia merosot 14 sen kepada RM5.30 serta Kelington dan SD Guthrie, masing-masing menyusut 13 sen kepada RM7.17 dan RM5.85.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 0.69 mata kepada 12,932.19, Indeks FBM Top 100 menurun 1.92 mata kepada 12,766.22, Indeks FBM Emas Shariah merosot 25.59 mata kepada 12,870.09, Indeks FBM Mid 70 menyusut 6.67 mata kepada 18,530.44 dan Indeks FBM ACE menurun 5.61 mata kepada 4,777.46.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 67.26 mata kepada 20,318.32, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menurun 0.16 mata kepada 201.10, Indeks Tenaga berkurangan 3.24 mata kepada 796.54 dan Indeks Perladangan menyusut 59.72 mata kepada 8,612.11.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial