MELAKA, 11 Mei (Bernama) -- Projek naik taraf sistem retikulasi air melibatkan tiga kawasan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Sungai Udang di sini yang menelan kos berjumlah RM13.5 juta dijangka siap sepenuhnya dalam masa terdekat ini.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata setakat ini, kemajuan projek berkenaan mencapai 99 peratus dan berfungsi bagi menjamin bekalan air yang mencukupi dan selamat di RKAT Desa Tun Razak, Desa Ria Tangga Batu serta Desa Taming Sari Satu dan Dua.
"Projek naik taraf sistem retikulasi air ini mengambil masa kira-kira dua tahun dan hampir siap, sekali gus menyelesaikan isu bekalan air melibatkan kira-kira 1,800 rumah di tiga kawasan terlibat.
"Hanya kira-kira satu peratus sahaja kemajuan projek yang masih sedang diselesaikan iaitu melibatkan keperluan pihak berkuasa tempatan yang perlu kita penuhi tetapi secara keseluruhan sistem ini telah berfungsi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di tapak Projek Menaik Taraf Sistem Retikulasi Air di Kem Sungai Udang ,di sini, hari ini.
Beliau berkata sekiranya terdapat gangguan bekalan air di kawasan berkenaan, sistem tersebut dijangka dapat menampung keperluan air untuk penduduk bagi tempoh dua setengah hari berbanding sistem sebelum ini hanya mampu menampung bekalan air selama sehari sahaja.
Dalam pada itu, katanya Kementerian Pertahanan juga dalam proses melaksanakan penukaran sistem bekalan air di Kem Terendak di sini melibatkan kos kira-kira RM45 juta.
Adly berkata inisiatif berkenaan dijangka dilaksanakan dalam tempoh setahun selepas beberapa proses termasuk melantik konsultan bagi menilai 'bill of quantities' (BQ) dan pelan projek diperoleh.
"Inisiatif ini dilaksanakan kerana sistem air dalam kawasan Kem Terendak telah agak lama atau uzur dan memerlukan penukaran sistem baharu bagi menyelesaikan isu-isu bekalan air di kem berkenaan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial