AM

AIA Malaysia Anjur Konsert Pada September Ini, Rai Ulang Tahun Ke-10 AIA Vitality

11/05/2026 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- AIA Malaysia akan menganjurkan Konsert AIA Generasi Malaysia 2026 pada 20 Sept ini, bersempena sambutan ulang tahun ke-10 AIA Vitality.

AIA Malaysia dalam kenyataan memaklumkan konsert yang akan berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil itu dijangka menghimpunkan kira-kira 10,000 pengunjung merentas generasi menerusi persembahan muzik pelbagai genre dan era.

Konsert berkenaan akan menampilkan barisan artis tempatan terdiri daripada Michael Wong, Ernie Zakri, 3P, MimiFly dan K-Town Clan.

“Menggabungkan genre pop, balada dan hip-hop, artis-artis ini mewakili suara, era dan aliran berbeza dalam industri muzik tempatan yang disatukan di satu pentas untuk mencipta pengalaman dan persembahan muzik secara langsung yang unik dan merentas generasi.

“Berteraskan semangat AIA Generasi Malaysia, konsert ini mencerminkan kepercayaan AIA bahawa kesejahteraan bukan sekadar kesihatan fizikal semata-mata, malah merangkumi hubungan bermakna, kegembiraan yang dikongsi bersama serta pengalaman yang menyatukan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

AIA Malaysia berkata penganjuran konsert berkenaan turut bersempena sambutan Hari Malaysia dengan meraikan kepelbagaian identiti budaya negara menerusi penyatuan pelbagai suara, genre dan generasi di satu pentas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran AIA Malaysia Chai Tze Siang berkata sepanjang sedekad lalu, AIA Vitality telah membantu rakyat Malaysia mengambil langkah praktikal setiap hari ke arah kesihatan yang lebih baik.

Beliau berkata Konsert AIA Generasi Malaysia 2026 turut mencerminkan falsafah bahawa impak berpanjangan dapat diwujudkan melalui pengalaman bermakna, usaha dan tindakan konsisten serta komuniti yang kukuh.

“Dengan menyatukan masyarakat melalui muzik, kami meraikan kehidupan berkualiti bukan sekadar diukur melalui tempoh hayat, tetapi sejauh mana kita menjalani kehidupan dengan sebaiknya dan ia selari dengan usaha berterusan kami untuk membantu rakyat Malaysia membina kehidupan yang lebih sihat, berpanjangan dan bermakna untuk generasi akan datang,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada kempen ulang tahun ke-10 AIA Vitality, AIA Malaysia turut melaksanakan pelbagai inisiatif digital serta kolaborasi bersama rakan media dan radio yang menawarkan peluang kepada rakyat Malaysia memenangi tiket konsert berkenaan.

Maklumat lanjut mengenai Konsert AIA Generasi Malaysia 2026 boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi AIA Malaysia  https://www.aia.com.my/aiagenerasimalaysia.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan