EKONOMI

CIMB Tingkat Sokongan Kepada PMKS Dengan Kemudahan Bantuan

12/05/2026 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd memperhebatkan bantuan yang disasarkan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menerusi Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS (SRF) bagi mengatasi peningkatan kos operasi, gangguan rantaian bekalan dan turun naik pasaran yang lebih meluas berikutan konflik Asia Barat. 

Diperkenalkan sebagai sebahagian daripada langkah bantuan Bank Negara Malaysia (BNM) bernilai RM5 bilion, kemudahan SRF itu menyediakan akses bagi PMKS yang terjejas kepada pembiayaan modal kerja tambahan untuk menyokong keperluan mudah tunai jangka pendek, termasuk pembelian inventori, perbelanjaan operasi dan keperluan kesinambungan perniagaan. 

Menurut CIMB, keutamaan akan diberikan kepada perniagaan yang beroperasi dalam sektor tertentu, terutamanya yang banyak bergantung pada minyak, produk berasaskan minyak mentah dan diesel. 

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Perbankan Komersial Kumpulan Ahmad Shazli Kamarulzaman berkata langkah itu menyediakan sokongan praktikal, memperkukuh daya tahan dan menambah fleksibiliti untuk membantu PKS mengurus aliran tunai serta komitmen perniagaan dengan lebih baik dalam tempoh tersebut.

“Kebanyakan perniagaan, terutamanya PMKS, beroperasi dalam persekitaran yang mencabar di tengah-tengah peningkatan kos dan gangguan rantaian bekalan, yang menjejaskan operasi harian. 

“Oleh itu, kami menggalakkan perniagaan yang menghadapi masalah untuk membuat pembayaran semula supaya menghubungi pengurus perhubungan kami lebih awal bagi meneroka pilihan bantuan yang ada, termasuk menangguhkan ansuran buat sementara waktu dan menyemak semula jadual pembayaran balik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurut kenyataan itu, kemudahan tersebut terbuka kepada peminjam PMKS yang layak, permohonan bagi SRF akan bermula pada 15 Mei hingga 31 Disember 2026 atau sehingga penggunaan sepenuhnya. 

Kemudahan yang disokong oleh pembiayaan BNM dan skim jaminan kerajaan yang ditadbir oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC), ia menawarkan pembiayaan sehingga RM750,000 dengan tempoh lima tahun pada kadar pembiayaan maksimum 3.75 peratus setahun, termasuk yuran jaminan.

Pada masa sama, CIMB akan terus menyokong pelanggan PMKS menerusi Program Bantuan Pembayaran (PAP) sedia ada, yang menawarkan pengaturan pembayaran balik yang fleksibel untuk membantu meringankan komitmen kewangan dengan segera dan memberi perniagaan fleksibiliti kewangan yang lebih baik, terutama dalam tempoh ini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan