EKONOMI

Kumpulan AmBank Tingkat Sokongan Untuk PKS Berikutan Gangguan Perdagangan Global

12/05/2026 04:49 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Kumpulan AmBank mengumumkan penyertaannya dalam Kemudahan Bantuan Penstabilan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) atau SME SRF melalui AmBank (M) Bhd dan AmBank Islamic Bhd.

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan itu memaklumkan penyertaan berkenaan mengesahkan semula komitmennya untuk menyokong PKS yang berdepan tekanan kewangan jangka pendek berikutan gangguan perdagangan dan rantaian bekalan global yang berkaitan dengan konflik Asia Barat.

 Menurut Kumpulan AmBank, SME SRF direka bentuk untuk menyediakan pembiayaan modal kerja yang tepat pada masanya bagi membantu menstabilkan operasi perniagaan PKS yang berdaya maju dan mengekalkan kesinambungan perniagaan dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi yang semakin meningkat ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan Kumpulan AmBank Christopher Yap berkata pihaknya berhasrat menyediakan sokongan pembiayaan yang tepat pada masanya dan mudah diakses bagi membantu PKS mengekalkan operasi, memelihara aliran tunai selain mengukuhkan daya tahan perniagaan dalam tempoh sukar ini.

“Dengan menggabungkan pembiayaan yang berpatutan, sokongan jaminan dan masa pemulihan yang dipercepat, kami berhasrat untuk bertindak sebagai rakan kongsi kewangan yang dipercayai dalam membantu PKS mengharungi kerumitan, memelihara daya saing dan meletakkan diri mereka untuk pemulihan dan pertumbuhan,” katanya.

Di bawah kemudahan ini, PKS yang layak boleh mengakses pembiayaan sehingga RM750,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun dan kadar pembiayaan atau keuntungan dihadkan pada 3.75 peratus setahun, termasuk yuran jaminan.

Kemudahan ini juga menyediakan perlindungan jaminan sehingga 80 peratus yang disediakan oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) terutamanya yang memberi manfaat kepada PKS yang mempunyai cagaran terhad.

Permohonan untuk SME SRF dibuka dari 15 Mei, 2026 hingga 31 Dis, 2026 atau sehingga penggunaan penuh dana yang diperuntukkan sebanyak RM5 bilion yang mana lebih awal dengan pertimbangan keutamaan diberikan kepada PKS Malaysia yang terjejas secara material dan kewangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan