EKONOMI

OPR: BNM Dijangka Kekal Paras Semasa 2.75 Peratus Julai Ini, Kekang Inflasi - BMI

11/05/2026 04:09 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- BMI menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam mesyuarat 9 Julai ini susulan keputusan sama pada 7 Mei lepas.

Unit penyelidikan Fitch Solutions itu menyatakan, kebimbangan mengenai aspek inflasi tidak begitu ketara denga inflasi keseluruhan naik kepada 1.7 peratus pada Mac daripada 1.4 peratus tahun ke tahun dalam Februari 2026 susulan peningkatan harga bahan api tanpa subsidi.

“Namun, kadar inflasi kekal pada paras sasaran kerajaan iaitu purata dalam julat 1.5 peratus hingga 2.5 peratus serta purata jangka panjang sebanyak 2.0 peratus,” menurut BMI dalam nota penyelidikannya.

Pada masa sama, BMI juga yakin BNM akan mengekalkan OPR pada 2.75 untuk tempoh berbaki bagi 2026.

“Walaupun BNM mengakui bahawa kenaikan harga komoditi global berkemungkinan meningkatkan inflasi, bank pusat itu terus mengulangi jangkaannya bahawa kesan itu kekal terkawal memandangkan langkah subsidi berterusan dapat membantu dari segi mengekang tekanan harga.

“Kami juga berpendirian sama dan telah mengekalkan unjuran inflasi kami pada purata 1.9 peratus bagi 2026,” menurutnya.

Mengulas prestasi eksport, BMI menyifatkan sektor luaran kekal berdaya tahan dengan data-data semasa menunjukkan peningkatan eksport sebanyak 12.7 peratus tahun ke tahun dalam suku pertama 2026 dengan sebahagian besarnya disokong oleh perkembangan berkaitan kecerdasan buatan (AI).

“Melangkah seterusnya, kami menjangkakan lebihan dagangan terus kukuh berikutan kitaran peningkatan semikonduktor ketika ini memaparkan petunjuk kecil dari segi penyederhanaan.

“Ini menunjukkan eksport elektronik dan produk elektrik yang kekal terikat dengan (prestasi) jualan semikonduktor, dapat membantu meningkatkan kedudukan perdagangan Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan