AM

PM Tiba Di Kota Kinabalu Untuk Lawatan Kerja Ke Sabah

08/05/2026 11:56 PM

KOTA KINABALU, 8 Mei (Bernama) -- Usai menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan di Cebu, Filipina, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini malam ini bagi mengadakan lawatan kerja ke Sabah.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 11.12 malam.

Ketibaan beliau disambut Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bersama Timbalannya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.  

Esok, Perdana Menteri dijadual menghadiri beberapa program di Kudat antaranya lawatan ke Pos Dogotan, Pulau Banggi dan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi.

Pada 10 Nov 1994, Anwar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pernah merasmikan majlis pecah tanah bangunan baharu bagi SMK Banggi.

Selain itu, Perdana Menteri dijadual menghadiri majlis ramah mesra bersama dengan masyarakat setempat Pulau Banggi sebelum pulang ke ibu negara.

Pulau Banggi, yang terletak di utara Sabah, boleh dikunjungi dengan menaiki feri sejauh kira-kira 70 kilometer dari terminal Kudat dan merupakan pulau terbesar di Malaysia dengan keluasan 440 kilometer persegi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan