SUKAN

Ketiadaan Dua Tonggak Utama Jejas Skuad Penyu, Tewas Di Laman Sendiri

09/05/2026 10:01 AM

KUALA NERUS, 9 Mei (Bernama) -- Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC Tengku Hazman Raja Hassan mengakui ketiadaan dua tonggak utama menjadi faktor kekalahan 1-3 skuad Penyu kepada Imigresen FC (IFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam tadi.

Pengendali kelahiran Kelantan itu berkata ketiadaan penyerang utama Gervane Kastaneer akibat kecederaan, serta Ehson Panjshanbe yang digantung perlawanan selepas insiden pertikaian dengan pengadil ketika menentang Kuching City FC sebelum ini, nyata menjejaskan perancangan pasukan.

Beliau berkata walaupun TFC bermula baik apabila berjaya membuka jaringan seawal minit keenam, pemain gagal mengekalkan fokus hingga membenarkan lawan bangkit dengan tiga gol pada minit ke-18, ke-31 dan ke-47.

"Masalah ini berterusan dalam beberapa perlawanan. Bila kita hasilkan jaringan, kita mudah hilang bola dan fokus. Malam ini saya dah jangka sebab ketiadaan Kastaneer dan Ehson yang menjadi play maker dan  kawal pemain di bahagian tengah. 

"Selepas kena gol kedua penalti, saya lihat pemain semakin hilang arah...seterusnya gol ketiga. Separuh masa kedua kita bangkit dan nampak lebih positif, tetapi satu lagi masalah ialah kita tak manfaatkan peluang yang ada serta cenderung buat kesilapan mudah," katanya selepas aksi malam tadi.

Tengku Hazman mengakui kecewa dengan kekalahan dialami malam tadi, yang menyaksikan TFC berdepan risiko menamatkan saingan Liga Super di tangga keenam musim ini, sekali gus gagal mencapai petunjuk indeks prestasi (KPI) yang ditetapkan pihak pengurusan.

Sementara itu, pengendali IFC Yusri Che Lah berkata beliau tidak menyangka mampu membawa pulang tiga mata berharga dari bumi Terengganu.

Beliau berkata pujian perlu diberi kepada anak buahnya yang menampilkan corak permainan terbaik dengan penuh berdisplin.

"Saya tak jangka (kemenangan) kerana tahu kekuatan Terengganu. Tidak ada dalam kamus untuk dapat tiga mata kerana saya faham kesukaran bermain dengan pasukan yang memiliki kekuatan terutama ikatan antara pemain tempatan mereka,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan