Daripada Linda Khoo Hui Li
CEBU (Filipina), 8 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dan Kemboja komited untuk memperhebat kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, industri halal, pendidikan tinggi dan memperkukuh tatakelola keselamatan serantau khususnya membanteras jenayah rentas sempadan serta penipuan pekerjaan.
Anwar, yang berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Ke-48 dan Sidang-Sidang Berkaitan, mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet di sela-sela persidangan itu hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata Malaysia juga mengalu-alukan lebih ramai pelajar dan pelancong dari Kemboja ke negara ini selaras dengan semangat keterbukaan serta pembangunan bersama ASEAN.
“Pertemuan dua hala bersama Hun Manet petang ini berlangsung dalam semangat persahabatan serantau yang terus diperkukuh demi kesejahteraan bersama rakyat kedua-dua negara.
“Malaysia menghargai hubungan yang telah lama terjalin dengan Kemboja, termasuk peningkatan hubungan antara rakyat, kerjasama ekonomi serta ikhtiar memperluas jaringan strategik dalam pelbagai bidang,” katanya.
Anwar juga berkata ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan tantangan ekonomi, ASEAN mesti terus diperkasa sebagai wahana keamanan, kestabilan serta kemakmuran serantau berpaksikan saling meyakini selain kepentingan bersama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial