KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Semangat solidariti luar biasa warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) seluruh negara membuahkan hasil apabila dana berjumlah RM143,239.00 berjaya dikumpulkan hanya dalam tempoh dua minggu bagi membantu mangsa kebakaran Kampung Bahagia, Sandakan baru-baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata inisiatif Kutipan Derma Solidariti KEMAS itu digerakkan bagi membantu mangsa terlibat termasuk empat Pembantu Pendidik Masyarakat Sukarela (PPMS) yang kehilangan tempat tinggal dan 83 kanak-kanak daripada empat kelas taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) di kawasan berkenaan.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata usaha murni tersebut mencerminkan semangat kebersamaan warga KEMAS di seluruh negara dalam membantu komuniti yang ditimpa musibah.
“Saya amat tersentuh dengan semangat solidariti dan kebersamaan yang ditunjukkan oleh seluruh warga KEMAS melalui inisiatif Kutipan Derma Solidariti KEMAS bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah,” katanya.
Ahmad Zahid berkata bantuan itu amat penting bagi memastikan kelangsungan pendidikan awal kanak-kanak yang terjejas tidak terganggu akibat kemusnahan harta benda dan kemudahan pembelajaran.
Beliau berkata dana yang dikumpulkan menerusi Tabika, kelas kemahiran dan program komuniti KEMAS itu akan digunakan untuk membantu keluarga PPMS yang kehilangan kediaman selain membiayai pembelian peralatan serta bahan pembelajaran kanak-kanak terlibat.
“Musibah ini bukan sekadar kehilangan kediaman atau kemudahan pembelajaran tetapi turut memberi kesan kepada kelangsungan pendidikan awal anak-anak yang merupakan amanah besar kepada negara.
“Justeru, bantuan yang disalurkan ini amat penting bagi memastikan kebajikan keluarga yang terjejas terus terbela, dan proses pengajaran serta pembelajaran anak-anak Tabika dapat diteruskan secepat mungkin,” katanya.
Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga KEMAS dan para penyumbang yang menjayakan misi itu serta berharap nilai keprihatinan sedemikian terus menjadi kekuatan dalam meringankan beban rakyat yang memerlukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial