KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Kerajaan Malaysia melalui Konsulat Jeneral di Pekanbaru menyumbang alat pemadam api ringan (APAR) kepada 100 masjid di Pekanbaru, Riau, Indonesia, sebagai usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat tempatan menghadapi kebakaran.
Konsul Malaysia di Pekanbaru, Mohammed Hosnie Shahiran Ismail berkata inisiatif itu dibiayai Tabung Strategik Hubungan Malaysia- Indonesia yang dikelolakan oleh Kementerian Luar Malaysia.
“Sumbangan ihsan ini merupakan tanda keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap masyarakat tempatan,” katanya kepada Bernama.
Mohammed Hosnie Shahiran menyampaikan APAR kepada pengurus masjid pada Jumaat. Hadir sama ialah wakil Walikota Pekanbaru Markarius Anwar.
Inisiatif itu hasil kerjasama Konsulat Malaysia di Pekanbaru dengan Dinas Pemadam Kebakaran dan Penyelamat (DAMKAR) serta Pejabat Kementerian Agama Kota Pekanbaru.
Sementara itu, Markarius menzahirkan rasa terima kasih kepada Konsulat Malaysia di Pekanbaru dan menyifatkan sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan yang amat bermakna.
“Kita semua berharap kebakaran dapat dicegah, namun sekiranya berlaku, APAR boleh menjadi langkah awal untuk memadamkan api,” katanya.
Konsulat Malaysia di Pekanbaru sebelum ini turut menaik taraf sebuah klinik di Pusat Tahfiz Ma’had Tafaqquh, Riau yang dibiayai oleh Tabung Strategik Hubungan Malaysia-Indonesia tahun lalu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial