KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Kecemerlangan pendidikan perlu bersifat holistik dan tidak hanya terbatas kepada pencapaian akademik semata-mata sebaliknya turut merangkumi aspek insaniah, etika, komunikasi serta kepimpinan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata hasil karya seni yang luhur juga penting kerana ia menonjolkan keindahan estetika budaya dan identiti masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“Semalam, kami dipersembahkan dengan persembahan penuh warna-warni oleh anak-anak Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL) bersempena dengan penganjuran Kota Baca 2026.
“Sungguh teruja dapat menonton ekspresi bakat anak-anak SSeMKL menerusi persembahan nyanyian dan tarian dalam suasana santai,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut mengucapkan syabas kepada semua yang terlibat serta merakamkan penghargaan kepada para guru yang tidak pernah jemu melatih dan memupuk bakat anak-anak tersebut.
Kota Baca 2026 adalah acara peringkat nasional yang diadakan sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia (UNESCO) yang jatuh pada 23 April setiap tahun.
Melalui pendekatan hibrid yang menggabungkan program fizikal dan platform digital, program berkenaan bertujuan mengangkat literasi sebagai norma sosial dan gaya hidup seluruh rakyat Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial